Rohani (tengah) melancarkan MANIS ketika Perhimpunan Bulanan KPWKM di Dewan Perdana Nur, KPWKM, Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Rohani (tengah) melancarkan MANIS ketika Perhimpunan Bulanan KPWKM di Dewan Perdana Nur, KPWKM, Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Nursyahirah Marzuki


SEBANYAK 210 laporan berkenaan data kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berjaya dibangunkan melalui Sistem Maklumat Nasional Isu-Isu Sosial (MANIS) yang dilancarkan hari ini.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, sistem berkenaan adalah platform pengumpulan data berpusat bagi membantu penggubalan dasar serta pembangunan program sosial berkualiti.

"Sistem ini mengandungi data yang merangkumi 64 laporan berkenaan wanita, 43 laporan keluarga, 36 laporan kanak-kanak, 23 laporan warga emas, 21 data orang kurang upaya, 10 laporan mangsa bencana, 10 laporan orang papa dan tiga laporan data berkenaan pertubuhan bukan kerajaan.

"Pelaksanaan sistem MANIS menumpukan kepada pembangunan portal untuk kegunaan awam dan juga dalaman, pemetaan lokasi institusi dan perkhidmatan yang ditawarkan kementerian terutama kepada kumpulan sasar dan masyarakat luar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPWKM dan Majlis Pelancaran Sistem MANIS di Putrajaya, hari ini.

Rohani berkata, KPWKM juga akan menjadi pusat rujukan nasional bagi isu sosial melalui pembangunan sistem MANIS yang akan tamat pada Jun 2018.

Menurutnya, sistem berkenaan juga boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih dan aduan rakyat mengenai kumpulan sasar yang disalurkan dengan lebih mudah dan cepat.

"Selain itu, kita juga berharap pembangunan sistem ini dapat mengumpulkan maklumat golongan yang tercicir dari masyarakat atau keluarga yang berpecah belah," katanya.

Menurutnya, semua pihak perlu memberi kerjasama dalam isu sosial dan bukan hanya meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada KPWKM.

"Tidak perlu menuding jari tetapi kita sepatutnya berganding bahu untuk menyelesaikan bersama-sama.

“Sekiranya semua kementerian mengeluarkan polisi untuk mencegah, kita akan dapat data besar mengenai masalah sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 12:42 PM