PROGRAM pengasingan sisa pepejal aiak dilaksanakan di lima lokasi di Shah Alam. FOTO file NSTP Shahiman Sharip
PROGRAM pengasingan sisa pepejal aiak dilaksanakan di lima lokasi di Shah Alam. FOTO file NSTP Shahiman Sharip

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melaksanakan program pengasingan sisa pepejal di lima lokasi di daerah ini, mulai esok.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, program pengasingan itu bertujuan mengurangkan sampah bagi proses kitar semula di tapak pelupusan selain pengurangkan penggunaan bahan mentah baru dalam penghasilan semula produk dan barangan.

"Program ini dinamakan 'Projek Rintis Program Pengasingan Sampah dari Rumah' yang mana ia merupakan langkah percubaan MBSA untuk mendidik dan mendedahkan penduduk Shah Alam tentang pengasingan sampah.

"Sebagai langkah permulaan, program ini akan dilaksanakan di lima lokasi iaitu di Seksyen 7 yang membabitkan Jalan Ferum, Jalan Pualam, Jalan Paladium, Jalan Vanadium serta Jalan Iridium; Seksyen 32 (Taman Anugerah, Taman Sri Bayu, Taman Bukit Naga 2 dan Taman Bukit Naga 3); Seksyen U8 (Jalan Adang dan Jalan Bidai); Seksyen U13 (Jalan Setia Indah 10) serta Seksyen U16 iaitu di Jalan Elektron," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehubungan itu, 1,700 unit rumah akan terlibat dalam program berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui pelaksanaan itu, penduduk dikehendaki mengasingkan setiap sisa sampah mengikut komposisi yang telah ditetapkan iaitu plastik, kertas, kaca dan aluminium.

"Rumah-rumah yang terpilih dalam program ini akan diberikan satu set plastik biru untuk kertas, jingga untuk sampah jenis plastik manakala coklat untuk sampah jenis kaca dan aluminium.

"Plastik itu akan digantikan semula sekiranya ia telah digunakan oleh tuan rumah untuk pengasingan bahan kitar semula tersebut," katanya.

Selain plastik berwarna, MBSA turut menyediakan tong sampah sebagai kemudahan kepada penduduk untuk menyimpan barangan kitar semula.

Ahmad Zaharin berkata, kutipan barangan kitar semula akan dilakukan sekali seminggu iaitu pada Sabtu dan pihak kontraktor yang membuat kutipan juga akan merekod setiap berat bahan kitar semula yang dikeluarkan pemilik rumah.

"Sekiranya program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk, kita akan perluaskan program ini secara berperingkat di beberapa lokasi lain sekitar Shah Alam," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 5:29 PM