JURI menilai arca bahan terbuang yang tersenarai peringkat akhir.
JURI menilai arca bahan terbuang yang tersenarai peringkat akhir.
Zaitie Satibi


KEHIDUPAN manusia berkait rapat dengan alam kerana manusia adalah khalifah di muka bumi, namun segelintir mereka memperjudi dan menyalahgunakan nikmat serta keindahannya untuk kepentingan sendiri.

Alam semula jadi juga sering digunakan sebagai sumber inspirasi untuk berkarya, malangnya persekitaran semesta ini dicemari perbuatan tidak yang bertanggungjawab.

Perairan dunia tercemar dengan sisa toksid, sampah-sarap, plastik yang tidak mudah terurai mengakibatkan populasi hidupan marin semakin terancam dan pupus.

Demikian luahan Mohd Shaharudin Sabu yang diterjemahkan menerusi arcanya yang berbentuk rangka tulang seekor ikan laut dalam, sekali gus membolehkan karya seniman ini yang bertajuk 'The Fullest Void II' dinobatkan juara pertandingan 'Waste To Art Sculpture' anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Rangka tulang ikan yang diselaputi plastik berwarna-warni dan seolah-olah memberi simbolik kepada kematian banyak hidupan laut akibat tertelan sampah plastik berjaya menambat hati juri .

ARCA tulang ikan daripada sampah plastik yang dicairkan simbolik pencemaran di laut.
ARCA tulang ikan daripada sampah plastik yang dicairkan simbolik pencemaran di laut.

Juri terdiri pensyarah Jabatan Seni Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Ramlan Abdullah; pensyarah jabatan sama, Syed Zamzur Akasah Syed Ahmed Jalaluddin; Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA, Mohd Zulfahmee Ismail; Pengarah Gravi Tree, Mohamad Shazlan Mohd Ghazali dan kurator Galeri Shah Alam, Iszuan Ismail.

Pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM21,500 dan sijil ini adalah usaha menjadikan MBSA sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030, selain program ini dijadikan platform untuk mendidik masyarakat khususnya golongan muda untuk memelihara dan menghargai alam sekitar.

Mohd Zulfahmee berkata, pertandingan ini yang bermula sejak Mei lalu adalah inisiatif MBSA untuk memupuk minat dan memperlihatkan bakat masyarakat dalam menghasilkan arca seni. Ia juga sekaligus mempromosikan Shah Alam sebagai Kota Seni.

“Konsep pertandingan adalah manifestasi daripada perubahan gaya hidup masyarakat hari ini yang mementingkan keseimbangan antara alam sekitar dan kitar semula. Bahan terbuang sangat bernilai andai ia dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

“Kami juga ingin memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan amalan kitar semula sebagai langkah penting dan berkesan dalam menguruskan sisa pepejal secara mampan demi generasi akan datang,” katanya.

PATUNG askar hasil cantuman patung kecil plastik.
PATUNG askar hasil cantuman patung kecil plastik.

Peserta dikehendaki menyiapkan arca menggunakan bahan terpakai atau terbuang seperti kertas, tin minuman, kaca, tali dan sebagainya. Pemenang dinilai melalui beberapa aspek berdasarkan kreativiti menggunakan bahan terbuang, keaslian dan teknik pembuatan arca yang terbaik.

“Kami menerima 80 penyertaan dari seluruh negara sebelum disaring kepada 30 arca terbaik. Namun, di peringkat akhir hanya 17 arca terpilih untuk dinilai juri.

“Semua 17 arca ini akan dipamerkan kepada umum di Galeri Shah Alam bersama 10 lagi arca jemputan mulai 10 hingga 30 September ini bagi membolehkan orang ramai melihat sendiri kreativiti yang ditonjolkan peserta,” katanya.

Pemenang tempat pertama menerima wang tunai RM5,000, tempat kedua iaitu Roslan Idris dengan arca berjudul Telinga Lintah yang dibentuk menggunakan teknik luakan, tambahan, pemasangan dan binaan menerima wang tunai RM3,000.

Tempat ketiga Mirza Marwan Che Zamilah@Jamil dengan arca berjudul Pahlawan yang mencantumkan patung plastik kecil menjadi binaan tentera memegang senjata menerima wang tunai RM2,000. Lima lagi peserta menerima hadiah saguhati bernilai RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 8:27 AM