WAJAH gembira pemenang bersama tetamu kehormat.
WAJAH gembira pemenang bersama tetamu kehormat.

Ketika ramai tidak berfikir panjang apabila membuang surat khabar lama, botol plastik dan tin aluminium ke dalam tong sampah, sekumpulan murid di Shah Alam gigih berusaha memastikan bahan berkenaan tidak berakhir di tapak pelupusan.

Usaha itu menyebabkan murid yang menganggotai Kelab Alam Sekitar SK Pendidikan Khas Selangor itu menjadi pelopor menjayakan kempen alam sekitar dalam kalangan rakan sebaya.

Hasilnya, sekolah itu muncul juara kategori sekolah rendah dalam Kempen Kitar Semula anjuran F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), baru-baru ini.

Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar sekolah berkenaan Mohd Khairi Abd Rahman berkata, kekurangan yang dihadapi murid terbabit tidak mematahkan semangat mereka untuk menjayakan program itu, sekali gus menyuntik kesedaran dalam kalangan warga sekolah.

“Mereka tidak menjadikan kekurangan diri sebagai halangan, malah menjadi pelopor mendidik rakan lain mengenai kepentingan mengitar semula bahan terbuang.

“Mereka memastikan bahan kitar semula di sekitar sekolah tidak dibuang ke dalam tong sampah tetapi mengutipnya sambil menggalakkan rakan memupuk amalan lestari ini,” katanya pada majlis penyampaian hadiah kemenangan.

Menerusi kempen kali sembilan itu, murid dan warga sekolah dari 40 sekolah sekitar bandar raya Shah Alam berjaya mengumpul 118,544.90 kilogram bahan kitar semula.

Melalui kerjasama dengan Tetra Pak Malaysia dan Jabatan Pelajaran Selangor, kempen itu berjaya mendidik pelajar, guru dan ibu bapa untuk menerapkan prinsip 4R iaitu Kurangkan (Reduce), Guna Semula (Reuse), Kitar Semula (Recycle) dan Fikir Semula (Rethink) serta membuat pilihan lebih ‘hijau’ dalam kehidupan seharian.

Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Cariessa Goh berkata, pujian perlu diberikan terhadap usaha dan komitmen pelajar dan semua pihak yang menjayakan kempen berkenaan.

“Pengurusan sisa pepejal sebenarnya isu besar dan kesedaran perlu dipupuk kepada golongan muda supaya memulakan langkah awal bagi mencetus kesedaran terhadap kepentingan kitar semula.

“Saya percaya mereka boleh dididik untuk mewujudkan persekitaran hijau dan bersih pada masa depan.

“Usaha mendidik pelajar memelihara alam sekitar dan menerapkan budaya kitar semula perlu dijalankan secara berterusan bagi memelihara khazanah alam negara,” katanya.

Hadiah disampaikan Datuk Bandar Shah Alam Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Kempen lima bulan itu turut disokong Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dengan penyertaan prasekolah, sekolah rendah dan menengah di bawah kawasan pentadbiran MBSA.

SMK Seksyen 11 juara kategori sekolah mene­ngah dengan kutipan purata 16.4kg setiap pelajar. Juara tahun lalu, SMK Bukit Jelutong di tempat kedua, manakala SMK Alam Megah di tempat ketiga.

Bagi kategori sekolah rendah, SK Alam Megah (3) muncul naib juara dan SJK (C) Chung Hua (ketiga) manakala Prasekolah SK Seksyen 20 juara bagi kategori prasekolah

Penasihat Kelab Alam Sekitar dan Pelancongan SMK Seksyen 11 Fadilah Ahmad gembira sekolahnya muncul pemenang selepas kali terakhir pada tahun 2007.

“Mengitar semula bukan hanya inisiatif diterajui pelajar, tetapi turut disokong guru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 11:04 AM