ANTARA gubahan bunga dihasilkan Zuraiha.
ANTARA gubahan bunga dihasilkan Zuraiha.
ANTARA gubahan bunga dihasilkan Zuraiha.
ANTARA gubahan bunga dihasilkan Zuraiha.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Tangan seni yang dianugerahkan kepadanya serta minat mendalam dalam gubahan serta dekorasi membuatkan ibu kepada dua cahaya mata ini tekad menceburkan diri dalam bidang gubahan sejak tiga tahun lalu.

Bagi Zuraiha Abdul Rahman,37, dia sememangnya amat meminati seni gubahan dan sering membantu ahli keluarga dalam membuat gubahan hantaran untuk majlis pernikahan dan perkahwinan.

“Bermula dari situ, ramai yang memuji hasil kerja tangan saya yang membuatkan semangat saya semakin membara meneruskan usaha dan minat ini dengan lebih serius.

“Saya mula menerima tempahan gubahan dulang hantaran, bunga tangan dan buah-buahan selain dekorasi rumah daripada rakan terdekat dan ahli keluaga sebelum ia semakin tersebar,”katanya.

Zuraiha berkata, dalam menjalankan pernigaaan itu dia perlu mencari kelainan dan keistimewaan tersendiri bagi memastikan gubahan yang dihasilkannya lain daripada yang lain.

“Persaingan yang ada amat sengit justeru, saya perlu cari kelainan dalam gubahan dan sentiasa berusaha membuat gubahan atau dekorasi luar biasa dengan harga berpatutan.

“Saya mahu pelanggan gembira dan berpuas hati dengan apa yang mereka mahukan kerana kepuasan pelanggan perkara terpenting dalam perniagaan,” ujarnya.

Menurut Zuraiha yang menjalankan perniagaan secara dalam talian, aspek pemilihan bunga dan warna tema elemen penting gubahan yang tidak boleh diambil mudah.

“Saya amat teliti dalam proses memilih bunga terutama jika gubahan itu menggunakan bunga segar kerana semua itu memberi pengaruh besar dalam gubahan.

“Saya juga akan memastikan membuat perbincangan dengan teliti bersama pelanggan yang membuat tempahan bagi mengelak rasa tidak puas hati pelanggan dengan apa yang saya hasilkan,”katanya.

Zuraiha yang menjalankan perusahaan gubahan di rumahnya di Shah Alam, Selangor berkata, selain sentiasa berusaha mencipta kelainan, dia turut bersyukur kerana memiliki suami yang amat membantu dan memahami.

“Suami selalu memberikan komen serta idea dalam menghasilkann gubahan atau dekorasi yang menarik serta tidak kelihatan biasa.

“Dia juga amat memahami membuatkan saya lebih fokus dalam melaksanakan tanggungjawan sebagai seorang isteri dan ibu serta pada masa sama menjalankan perniagaan ini,” katanya.

Zuraiha berkata, dengan kecanggihan teknologi serta penggunaan laman sosial yang meluas turut membantu dirinya dalam perniagaan terbabit.

“Sekarang bukan lagi seperti dulu kerana peluang untuk berniaga itu terbuka kepada semua dengan adanya laman sosial seperti Facebook dan Instagram.

“Atas sebab itu juga saya memilih untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian kerana ia bukan saja memudahkan malah tidak memerlukan modal yang terlalu besar,” katanya.

Menurut Zuraiha, seperti usahawan lain dia pastinya mengharapkan perniagaan yang dijalankan berkembang maju selain membantu individu yang memerlukan khidmatnya dengan harga yang berpatutan.

“Saya perlu fokus dan yakin dengan diri sendiri selain berusaha mencipta gubahan luar biasa yang dapat menggembirakan hati pelanggan.

“Saya juga berharap dapat mengecap kejayaan yang diimpikan serta bergelar usahawan wanita yang disegani suatu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 8:04 AM