ERNI Mawar sentiasa mencari kelainan dalam perniagaan dijalankan.
ERNI Mawar sentiasa mencari kelainan dalam perniagaan dijalankan.
PELBAGAI pilihan hamper disediakan Erni Mawar mengikut kehendak pelanggan.
PELBAGAI pilihan hamper disediakan Erni Mawar mengikut kehendak pelanggan.
Siti Nadirah Hafidzin

Berkecimpung sejak enam tahun lalu dalam dunia perniagaan bakeri menghasilkan kek, biskut, roti dan coklat menjadikan wanita gigih ini mula mencari kelainan bagi mempelbagaikan cabang perniagaannya.

Dia akui amat meminati bidang gubahan dan bakeri menyebabkannya berusaha menghasilkan produk bukan saja berkualiti malah lain daripada yang lain dalam lingkungan harga berpatutan.

Ternyata semangat dan usaha gigihnya membuahkan hasil apabila semua produk yang dihasilkan menerima sambutan memberangsangkan bukan saja daripada pelanggan tetap malah juga pelanggan baru.

Menceritakan detik awal pembabitannya, Erni Mawar Burhanuddin, 40, berkata, minat mendalam mendorongnya untuk memulakan perniagaan bakeri yang diberi nama Bakeri Mawalicious.

“Saya menyediakan produk Muslim yang dijamin berkualiti dan enak supaya ia menjadi pilihan pelanggan. Bermula daripada bakeri dan atas permintaan pelanggan yang mahukan produk dibeli dihias cantik untuk dijadikan sebagai cenderahati memberi ilham kepada saya untuk menawarkan khidmat gubahan hamper,” katanya.

Menurut Erni Mawar, hamper yang disediakan adalah mengikut bajet dan cita rasa yang dimahukan pelanggan bagi memastikan ia memuaskan hati.

“Gubahan hamper yang saya sediakan sesuai dijadikan hadiah untuk majlis hari jadi, sambutan hari guru, hantaran pertunangan dan pernikahan, pemberian pada hari raya atau cenderahati majlis perkahwinan.

“Setiap hamper akan diisi dengan pilihan biskut, kek atau coklat yang saya hasilkan sendiri sebelum dibalut dan digubah mengikut warna tema dimahukan pelanggan,” ujarnya.

Erni Mawar, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu berkata, dari situlah dia mula menerima tempahan menghasilkan gubahan hamper yang kebanyakannya dalam lingkungan harga RM50 hingga RM350.

“Soal harga juga bergantung kepada kehendak pelanggan sendiri iaitu mengikut jenis bekas, kandungan dan kuantiti hamper yang dimahukan.

“Saya sentiasa memberi ruang kepada pelanggan untuk menyatakan apa yang mereka mahukan bagi memastikan ia tidak membebankan pelanggan sekali gus memuaskan hati mereka,” katanya.

Produk Erni Mawar boleh dilihat di laman Facebook bakerimawalicious dan Instagram @mawalicious.

Cipta kelainan ikut peredaran semasa

Erni Mawar mengakui setiap rekaan dan gubahan hamper yang disediakannya perlulah terkini dan unik supaya dapat memuaskan hati pelanggan.

“Bagi menjaga kualiti, saya akan pastikan setiap gubahan itu mengikut apa yang pelanggan mahukan terutama tema, warna dan jenis bahan yang dimasukkan ke dalam hamper,” katanya.

Menurut Erni Mawar, dia sentiasa mencari maklumat mengenai trend bungkusan hamper terkini melalui Internet atau majalah yang kemudiannya diolah balik mengikut kreativitinya sendiri.

“Disebabkan saingan agak sengit, saya sentiasa positif dengan cuba mencari kelainan terutama dalam aspek penggubahan bungkusan hamper menggunakan hiasan bunga atau warna yang ceria.

“Ia membantu untuk menaikkan lagi impak ceria pada hamper itu yang pastinya membuatkan si penerima berasa gembira,” katanya.

Erni Mawar yang menjalankan perniagaan Bakeri Mawalicious di Batu 14, Puchong Utama berkata, antara tempahan yang paling menggalakkan adalah bungkusan hamper biskut raya terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

“Mungkin disebabkan biskut yang dibungkus itu adalah buatan saya sendiri sebelum dimasukkan ke dalam bekas cantik dan dibalut rapi menggunakan kreativiti saya sendiri menjadikan ia lebih istimewa dan unik.

“Bukan saja disebabkan keunikan gubahan hamper itu, malah keenakan kuih, biskut, kek atau coklat itu amat memainkan peranan dalam memastikan hamper itu terus mendapat tempahan,” ujarnya.

Bahagi masa sebaik mungkin

Selain menguruskan perniagaan Bakeri Mawalicious, Erni Mawar juga berkhidmat di sebuah syarikat hartanah selain menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

“Hakikatnya bukanlah sesuatu yang mudah untuk membahagikan masa dan tenaga dalam menguruskan semua tanggungjawab ini namun berkat kesabaran serta kegigihan ia berjalan lancar.

“Suami banyak membantu dalam menguruskan semua ini selain keluarga dan rakan yang tidak putus memberi semangat, nasihat serta dorongan untuk saya terus berjaya,” katanya.

Erni Mawar yang kini menetap di Puchong Utama berkata, dia sentiasa memastikan disiplin diri terutama membabitkan aspek pembahagian masa dan berada dalam keadaan teratur supaya tidak ada masalah yang berlaku di kemudian hari.

“Sekiranya saya tidak bijak membahagikan masa pastinya saya tidak dapat menjalankan tanggungjawab ini sebaik mungkin terutamanya untuk memberikan tumpuan dalam perniagaan,” ujarnya.

Harapannya kini adalah untuk melihat Bakeri Mawalicious terus berkembang maju dan dapat bersaing dengan pengusaha yang lain.

“Untuk menggapai impian itu, saya perlu terus komited dan tidak boleh berhenti separuh jalan supaya apa yang saya usahakan selama lebih enam tahun ini membuahkan hasil seperti yang diharapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 12:43 PM