Jakarta: Tiga jemaah warga Indonesia dilaporkan terkorban dalam tragedi rempuhan di laluan pejalan kaki di Mina, Arab Saudi semalam.

Wakil Duta Besar Indonesia di Arab Saudi, Sunarko berkata, mangsa yang terkorban belum dapat disahkan identitinya.

“Daripada maklumat yang kami terima tiga jemaah Indonesia terkorban dalam tragedi berkenaan.

“Kami kini berusaha mengenal pasti identiti semua mangsa,” katanya.

Menurutnya, kedutaan juga bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi untuk memantau sekiranya ada lagi jemaah Indonesia terbabit dalam tragedi berkenaan.

Pegawai penyelaras haji Indonesia di Makkah, Arsyad Hidayat memberitahu, seorang jemaah yang maut adalah lelaki.

“Ketika kejadian mangsa bersama isteri dan seorang lagi ahli keluarganya,” katanya.

Menurut media Indonesia, isteri dan ahli keluarga jemaah berkenaan tidak cedera dalam kejadian itu.

“Kami mengumpul lebih banyak maklumat bagi mencari sekiranya ada lagi jemaah Indonesia maut atau cedera,” jelasnya.

Kejadian rempuhan itu tercetus selepas ribuan jemaah berasak-asak di laluan yang menuju ke tempat melontar jamrah.

Setakat ini lebih 700 jemaah dilaporkan terkorban dan kira-kira 800 lagi cedera. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:38 AM