Jakarta: Dua lagi jemaah haji Indonesia disahkan maut dalam tragedi rempuhan di Mina, menjadikan jumlah korban dari negara itu meningkat kepada 59 orang.

Ketua Kementerian Agama Indonesia di Arab Saudi, Arsyad Hidayat berkata, dua mangsa yang dikenal pasti itu ialah Abdul Wahab Idris Jafar dan Hosen Ibrohim Nimat.

Katanya, kementerian turut berbincang dengan kerajaan Arab Saudi mengenai kemungkinan untuk membawa jenazah mangsa yang maut pulang ke Indonesia.

“Bagaimanapun, ramai waris yang terkorban mahu ahli keluarga mereka dikebumikan di Makkah,” katanya.

Pihak berkuasa Arab Saudi segera mengebumikan jenazah yang dikenal pasti kerana disimpan selama tujuh hari.

Tragedi rempuhan di Mina pada 24 September lalu itu menyebabkan seramai 769 jemaah maut dan lebih 900 lagi cedera.

Seramai 76 jemaah haji warga Indonesia dilaporkan masih hilang selepas tragedi itu berlaku. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 6:43 AM