JEMAAH menuju ke jamrah semalam. - AFP
JEMAAH menuju ke jamrah semalam. - AFP
Reuters

Riyadh: Hampir dua juta jemaah melontar jamrah tahun ini, setahun selepas nahas paling buruk membabitkan ibadah itu berlaku tahun lalu.

Arab Saudi mengerahkan ribuan anggota keselamatan, kakitangan keselamatan awam dan sukarelawan selain menggunakan sepenuhnya teknologi moden termasuk dron serta gelang elektronik untuk memastikan keselamatan pada tahap terbaik sepanjang haji dilaksanakan.

Tahun lalu, Arab Saudi melaporkan hampir 800 orang terbunuh apabila dua kumpulan besar jemaah bertembung di satu simpang ketika dalam perjalanan untuk melontar di jamrah.

Bagaimanapun, ramai menganggarkan lebih 2,000 yang sebenarnya maut dengan lebih daripada 400 mangsa rakyat Iran.

Pihak berkuasa Arab Saudi berkata, 1.86 juta jemaah dari seluruh dunia datang menunaikan haji tahun ini, kurang daripada tahun-tahun sebelumnya yang melihat sehingga 3 juta kehadiran.

Menurut pihak berkuasa, gangguan akibat projek pembinaan infrastruktur di Makkah serta konflik di rantau berkenaan antara punca jumlah jemaah dihadkan.

Jemaah berhimpun dengan diawasi pihak berkuasa untuk melontar dari jambatan tiga tingkat yang dibina bagi mengurangkan kesesakan.

Pada tahun-tahun sebelumnya, rempuhan kerap berlaku ketika jemaah berasak-asak pulang ke Masjidilharam sebaik selesai melontar.

Jemaah Mesir, Abdel-Rahman Badr berpuas hati dengan kadar keselamatan tahun ini.

“Memang kali ini semuanya lebih lancar dan tersusun seterusnya memudahkan jemaah menunaikan ibadah,” katanya.

Namun seorang lagi jemaah, Mohammed, 60, berkata, masih banyak perlu dilakukan terutama untuk memudahkan jemaah warga emas.

Sementara itu, Raja Salman turut berada di Mina, semalam, untuk memantau pelaksanaan pelan diwujudkan bagi mengelak kesesakan yang mampu menyebabkan nahas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 6:18 AM