Hafiz Ithnin


Ternyata kunjungan penulis bersama jurufoto dan juruvideo ke Taman Tema Air SplashMania di Gamuda Cove, Kuala Langat, Selangor yang baharu sahaja beroperasi Isnin lalu bagi tugasan tinjauan media begitu menyeronokkan.

Terasa amat berbaloi dengan harga promosi RM79 untuk seorang pengunjung dewasa dan RM63 bagi kanak-kanak bermula 6 Februari hingga 31 Mac ini bagi menikmati 39 tarikan yang pasti membuatkan anda basah!

Ia termasuk 24 permainan gelungsur air yang pelbagai bukan sekadar sesuai untuk kanak-kanak menikmati keseronokan bermain air, malah juga orang dewasa.

Dalam kata lain pastinya jika anda berkunjung bersama keluarga dari peringkat dewasa, remaja sehingga kanak-kanak tentunya tidak akan merasa bosan kerana berpeluang menikmati pelbagai permainan yang disediakan.

TREASURE Tower pasti menjadi tarikan untuk kanak-kanak menikmati pancuran air dan permainan.
TREASURE Tower pasti menjadi tarikan untuk kanak-kanak menikmati pancuran air dan permainan.

Sebagai orang dewasa pastinya penulis dan rakan-rakan setugas ingin mencuba permainan yang menguji keberanian menggelungsur air. Apatah lagi terlalu banyak jenis gelungsur air yang menguji rasa gayat kami ketika melakukannya.

Paling menguji rasa gayat pastinya ketika bermain gelunsur air Plunge dan Sumaumeira yang masing-masing berketinggian 65 meter dan 91 meter terletak di atas sebuah kapal gergasi 'terapung.'

Ketika menaiki gelongsor Sumaumeira, rasa gerun bercampur terpesona kerana di dalamnya terdapat beberapa bahagian yang seperti gelung lampu berwarna warni.

Manakala, Plunge pula adalah gelungsur air yang mempunyai tahap kecerunan yang agak menegak dengan bahagian atasnya terbuka, pastinya menguji rasa gayat yang sebenar.

MASKOT SplashMania menyambut ke hadiran pengunjung di pintu masuk.
MASKOT SplashMania menyambut ke hadiran pengunjung di pintu masuk.

Jika membawa kanak-kanak, pada hemat penulis pastinya anak-anak anda tidak mahu keluar daripada kawasan taman permainan air kanak-kanak antara yang terbesar di Malaysia diberi nama Treasure Tower itu.

Penulis juga mencuba sendiri bermain di dalam Treasure Tower kerana di dalamnya terdapat beberapa gelungsur air yang amat menyeronokkan untuk dinikmati.

Tidak sekadar itu, di atas Treasure Tower terdapat sebuah 'bakul' air gergasi yang akan ditadah sehingga penuh dan akan melimpahkan airnya ke arah mereka yang berada di bawahnya.

Bagi mereka yang gemar bermain luncur arus, Taman Tema Air SplashMania juga menyediakan keseronokan itu untuk dinikmati pengunjung.

Sebelum mencuba permainan luncur arus itu, pengunjung akan diberi taklimat dan diajar cara mengendalikan papan gelungsur supaya lebih seronok dan bagi memastikan keselamatan keselamatan si pemain.

Bagi meningkatkan tahap keselamatan di taman tema air ini, setiap permainan air akan dipantau kru bertugas.

Apabila sudah bermain air pastinya akan merasa lapar bukan? Jangan risau di sini terdapat pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual di restoran.

KAPAL ‘terapung’ seperti menjadi ikonik di SplashMania yang mempunyai tarikan permainan gelongsor air.
KAPAL ‘terapung’ seperti menjadi ikonik di SplashMania yang mempunyai tarikan permainan gelongsor air.

Menariknya di taman tema air ini, pengunjung boleh memuat turun aplikasi GL Play App untuk proses membeli tiket masuk dan membuat pesanan makanan tanpa perlu beratur.

Untuk menyimpan barangan peribadi juga tidak perlu risau kerana terdapat lokar ('loker') disediakan dan tidak perlu risau dari segi keselamatan kerana ia menggunakan teknologi pintar.

Ketua Operasi Taman Tema Air SplashMania, Suresh V Kumaran berkata, taman tema air itu dibina Gamuda Land di Gamuda Cove yang mempunyai keluasan kira-kira 7.28 hektar adalah taman tema hutan hujan terbesar di Malaysia.

"Di sini terdapat pelbagai permainan air yang amat menarik antaranya gelungsur Shaka Waka iaitu gelungsur gelap yang dihiasi lampu warna-warni dan gelungsur Atlantic VR yang memerlukan pengunjung memakai peranti Realiti Maya (VR) sambil menuruni gelungsur dan ia adalah permainan pertama di Malaysia.

"Semua permainan ini juga mempunyai versi kanak-kanak supaya mereka dapat merasai pengalaman sama seperti orang dewasa," katanya kepada penulis.

Suresh berkata, taman tema air itu turut dilengkapi dengan laluan sungai sepanjang 400 meter yang memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung selain mempunyai kawasan ombak dan jakuzi.

"Selain itu, kita juga menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengunjung seperti ruang untuk solat dan bilik persalinan yang begitu selesa.

"Bagi mereka yang ingin mendapatkan ruang santai privasi bersama keluarga, mereka boleh menyewa Cabana iaitu bilik khas yang mempunyai saiz berbeza. Kini kita mempunyai 14 Cabana," katanya.

SUNGAI buatan yang mempunyai arus deras tersendiri.
SUNGAI buatan yang mempunyai arus deras tersendiri.

Jelasnya, selepas tempoh promosi harga tiket akan kembali kepada harga asal iaitu RM125 bagi dewasa, RM95 untuk kanak-kanak selain masuk untuk kanak-kanak berketinggian 0.9 meter ke bawah.

Pada hemat penulis, kemunculan Taman Tema Air SplashMania sudah semestinya menjadi satu tarikan baharu pelancongan tempatan dan jangan lepaskan peluang untuk menikmatinya!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 12:14 PM