DR Kamarudin mengucapkan tahniah kepada seorang pelajar MRSM Kubang Pasu yang menerima anugerah.
DR Kamarudin mengucapkan tahniah kepada seorang pelajar MRSM Kubang Pasu yang menerima anugerah.

Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kubang Pasu, Kedah menerima projek solar bernilai RM5,000 daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMap) sempena majlis graduasi kali kelapan universiti itu, baru-baru ini.

Majlis disempurnakan Naib Canselor UniMap Brig Jen Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Sumbangan berbentuk gazebo hijau itu akan dipasang dengan solar panel untuk membekalkan tenaga elektrik kepada masing-masing dua unit lampu, kipas angin dan stesen pengecasan.

“Gazebo sumbangan pertama kami kepada sekolah di Kedah ini akan dipasang dan diselenggarakan Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektronik UniMap untuk kegunaan pelajar MRSM berkenaan.

“Ia sebagai perkongsian teknologi untuk manfaat bersama,” katanya.

Pengetua MRSM Kubang Pasu Mohd Yusoff Mat Taha berkata, perkongsian itu diharap dapat menaikkan semangat pelajar untuk berusaha lebih gigih menuju kecemerlangan.

Pada majlis sama, 157 pelajar tingkatan lima MRSM berkenaan menerima sijil graduasi masing-masing selepas berjaya memenuhi jam kredit akademik sepanjang tempoh pengajian, jam kredit kursus kokurikulum dan lulus subjek khas ditetapkan.

Antara anugerah yang diberikan ialah Anugerah Terbaik Subjek, Pelajar Terbaik Semester, Pelajar Terbaik SPM MRSM, Tokoh Akademik, Tokoh Kokurikulum, Tokoh Kepimpinan dan Tokoh Pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 5:04 AM