FORD Everest lasak.
FORD Everest lasak.
Erywan Norshal


Selepas setahun diperkenalkan secara global, akhirnya kenderaan utiliti sukan (SUV) Ford Everest baharu menjengah pasaran tempatan yang penuh dengan kemampuan meredah laluan off-road atau jalan biasa, selain menawarkan keselesaan ruang kabin lebih baik kepada tujuh penumpang.

Malah, ia satu-satunya SUV di dalam kelasnya di Malaysia yang memiliki tempat duduk kuasa dengan lapan cara talaan dan soket kuasa berkapasiti 230 volt.

Soket kuasa itu boleh digunakan untuk mengecas komputer riba dan peranti lain sepanjang perjalanan serta kelebihan tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat dengan hanya satu sentuhan butang.

Ford Everest direka dengan memiliki ketahanan untuk berdepan persekitaran paling mencabar sekali gus menjadi SUV paling lasak dalam kelasnya.

Dengan kelegaan tanah setinggi 0.225 meter (m) membuatkan ia terasa tinggi tidak kira apa yang ada di hadapannya dengan digabungkan kemampuan mengharung air setinggi 0.8m.

Bagi memberikan kemampuan terbaik, Ford Everest menampilkan Sistem Pengurusan Rupa Bumi Ford yang menawarkan empat talaan mod membabitkan normal, salji/lumpur/rumput, pasir dan batu.

Mod berfungsi untuk menukar maklum balas pendikit kenderaan, transmisi, sistem pacuan empat roda dan kawalan cengkaman pintar.

Ia juga hadir dengan ciri keselamatan yang mendahului kelasnya seperti tujuh beg udara, malah sudah menerima penarafan maksimum lima bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (NCAP). Model itu ditawarkan pada harga RM198,888 di atas jalan tidak termasuk insurans di Semenanjung Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 5:02 AM