LIM (dua dari kiri) pada majlis menandatangani perjanjian antara Maybank dan Sage Software.
LIM (dua dari kiri) pada majlis menandatangani perjanjian antara Maybank dan Sage Software.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Maybank meletakkan sasaran untuk mencapai penguasaan pasaran sehingga 26 peratus dalam segmen pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh dua tahun.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Global Maybank, Datuk Lim Hong Tat berkata, setakat ini Maybank mencapai penguasaan pasaran mencecah 21 peratus dan pihaknya optimis untuk meningkatkan peratusan berkenaan terutamanya dengan penawaran produk pembiayaan berkaitan PKS.

“Dalam tempoh dua tahun lagi, kami menjangkakan penguasaan pasaran dalam segmen pembiayaan untuk PKS khususnya berkaitan peruncitan akan meningkat antara 25 peratus dan 26 peratus.

“Ini berikutan penawaran produk pembiayaan yang menepati kehendak komuniti perniagaan,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian dengan Sage Software Sdn Bhd di sini, semalam.

Sebelum ini, Maybank memperkenalkan model pembiayaan perniagaan baru untuk PKS di mana kelulusan diberikan dalam tempoh singkat. Malah, pembiayaan juga akan diberikan dalam tempoh lapan hari dengan penyerahan dokumen yang minimum.

Menurutnya, hasil daripada pengenalan model baru itu, pihaknya berjaya mencatatkan pertumbuhan pembiayaan sehingga 30 peratus.

“Sehingga Ogos lalu, pertumbuhan pembiayaan untuk PKS dicatatkan sebanyak 30 peratus iaitu sekitar RM2 bilion setiap tahun dan kami yakin jumlah berkenaan akan terus meningkat,” katanya sambil menambah Maybank memberikan pembiayaan sehingga RM1.5 juta dengan jaminan daripada CGC Corporation.

Dalam pada itu, perjanjian antara Maybank dan Sage Software antara lain membolehkan pelanggan Sage menggunakan platform Maybank2u Biz secara terus daripada modul perakaunan dan pembayaran gaji. Ia secara tidak langsung memudahkan proses pembayaran dan mengurangkan kos kerana tidak membabitkan penggunaan cek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 6:44 AM