Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Malayan Banking Berhad (Maybank) menjangkakan segmen pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana runcit (RPKS) berkembang sebanyak 35 peratus pada tahun ini berbanding 27 peratus yang direkodkan pada tahun lalu.

Kumpulan perbankan terbesar Malaysia itu turut mengunjurkan untuk mencapai anggaran purata peningkatan jumlah portfolio pinjaman pembiayaan segmen itu kepada RM16.8 bilion menjelang akhir 2017.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Datuk Hamirullah Boorhan berkata, segmen RPKS adalah segmen utama bagi portfolio Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) Maybank dan sepanjang lima tahun lalu menyumbang kepada pertumbuhan dua angka.

Beliau berkata, RPKS adalah kumpulan usahawan PKS terdiri daripada perniagaan yang mempunyai perolehan sebanyak RM25 juta dan ke bawah dan kira-kira 61 peratus daripada pembiayaan RPKS tahun lalu terdiri daripada pembiayaan Islam dan selebihnya pembiayaan konvensional.

“Kami mendapati RPKS memainkan peranan penting terhadap ekonomi negara dan meliputi 97 peratus daripada keseluruhan segmen PKS.

“Keadaan itu menjadikan kami komited untuk menyokong segmen ini bagi memastikan mereka yang terbabit diberi peluang untuk mengembangkan perniagaan dan menyumbang kepada kemakmuran negara secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Di bawah portfolio RPKS, Maybank juga menyediakan perkhidmatan kepada sektor perniagaan yang luas daripada pemborongan dan perdagangan runcit sehingga pengurusan perhotelan, insurans, hartanah, perdagangan am, farmasi, pendidikan dan barangan pengguna.

Hamirullah berkata, pertumbuhan dalam segmen RPKS pada tahun ini dijangka diperoleh daripada perniagaan berasaskan hartanah, jaminan portfolio (PG), pembiayaan perdagangan, kad komersial, kredit mikro dan deposit PKS menerusi Akaun Maybank SME First dan akaun penggajian.

Menurutnya, Maybank juga bakal membabitkan pakar pasaran tempatan seperti Aladdin Street.Com yang akan berkongsi mengenai impak e-dagang dan globalisasi bersama peserta serta Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) turut hadir untuk menyediakan bantuan terus kepada peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 5:32 AM