KAKITANGAN RHB, Wong Mun Ei menunjukkan aplikasi RHB SME Financing.
KAKITANGAN RHB, Wong Mun Ei menunjukkan aplikasi RHB SME Financing.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: RHB Banking Berhad (RHB), memperkenalkan pembiayaan online pertama untuk pengusaha kecil dan sederhana (PKS), RHB SME Financing.

Ketua Perniagaan dan Perbankan Transaksinya, Jeffrey Ng Eow Oo berkata, pihaknya menyasarkan RM100 juta pembiayaan akan diluluskan dalam tempoh setahun.

Katanya, platform online RHB SME Financing menyediakan PKS kaedah yang paling mudah dan pantas untuk memohon pembiayaan pada kadar kompetitif.

“Kami komited untuk memacu pertumbuhan perniagaan PKS RHB sekali gus menyumbang 20 peratus kepada pembiayaan domestik bank menjelang 2020.

“Malaysia mempunyai kira-kira 900,000 PKS di seluruh negara dan hampir 20 peratus daripadanya pelanggan RHB dan setakat ini penguasaan pasaran kami dalam segmen PKS adalah 9.0 peratus,” katanya pada sidang media selepas pelancaran RHB SME Financing di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim.

Jeffrey berkata, hanya dalam tempoh 10 minit pelanggan boleh memohon RHB SME Financing dan mendapatkan pembiayaan dalam tempoh lima hari bekerja.

Tempoh pinjaman PKS yang ditawarkan ini bermula dari enam bulan sehingga 24 bulan untuk pembiayaan berjumlah antara RM50,000 hingga RM300,000.

PKS yang mempunyai perolehan tahunan sekitar RM35 juta layak memohon RHB SME Financing dengan minimum dokumen diperlukan.

“Buat masa ini RHB SME Financing hanya boleh didapati untuk sekitar Lembah Klang dan kami akan perluaskannya ke seluruh negara pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 10:19 AM