Oleh Azlan Muhmmad Zain

Shah Alam: Masalah ketumpulan jentera penyudah terus menghantui Selangor apabila kecundang 0-3 kepada Kelantan pada saingan Kumpulan C Piala Malaysia, malam kelmarin.

Walaupun dihidangkan beberapa peluang terbaik, anak buah Mehmet Durakovic belum mampu mengatasi kecekapan Khairul Fahmi Che Mat di pintu gol pasukan pelawat.

“Sepanjang 20 minit pertama kami seharusnya mendahului lawan jika memanfaatkan peluang terhidang.

“Kami gagal memanfaatkan peluang dan Kelantan sebaliknya. Itu membezakan kami dan mereka malam ini,” katanya.

Malah beliau mengakui ketiadaan Nazmi Faiz Mansor dan Hazwan Bakri yang digantung selain K Gurusamy yang cedera dirasainya walaupun ia membuka peluang kepada pemain lain diturunkan.

Kelantan mendahului 1-0 menerus jaringan Gilmar Da Silva pada minit ke-26 sebelum lawan menghukum Merah Kuning menerusi dua jaringan pada babak kedua dalam tempoh lima minit sumbangan Iwuji Augustine Ammachi dan Da Silva.

“Dua gol pantas lawan menyukarkan kami bangkit. Secara keseluruhan kami beraksi dengan baik namun gagal menjaringkan gol.

“Mungkin juga disebabkan bola baru (digunakan dalam Piala Malaysia) menyebabkan pemain gagal menemui sasaran.

“Malam ini adalah kali pertama pemain menendang bola baru ini. Namun saya tidak mahu menjadikannya alasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:47 AM