Rusiah dari Sungkai, disahkan terkorban.
Rusiah dari Sungkai, disahkan terkorban.
Oleh Yusmizal Dollah Aling & Mahaizura Abd Malik


Kelana Jaya: Seorang daripada lapan jemaah haji Malaysia yang hilang dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, Jumaat lalu, disahkan terkorban.

Khabar duka itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada sidang media di sini, malam tadi.

Mangsa yang terkorban ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak.

Jamil Khir berkata, mangsa dikenal pasti pasukan perubatan Tabung Haji (TH) melalui proses pengecaman pada jam 10.30 pagi waktu Arab saudi.

Katanya, pengecaman dibuat daripada 108 gambar jenazah yag dipaparkan pihak Arab Saudi.

"Proses pegecaman turut dilakukan menerusi buku rekod kesihatan, pas dan gelang pengenalan diri jemaah serta ujian DNA sekiranya perlu.

"Saya bagi pihak Perdana Menteri,kerajan Malaysia dan TH mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga Allahyarham,"katanya.

Menurutnya, jenazah Rusiah akan disembahyangkan di Masjidil Haram dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ma'ala.

“Jenazah Allahyarham Rusiah dalam keadaan baik dan dapat dikenali menerusi wajahnya,” katanya.

Jamil Khir berkata, TH akan terus melakukan pencarian terhadap jemaah haji Malaysia yang masih hilang, temasuk mencari di klinik lain di Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 8:47 PM