Tiga lagi jemaah haji Malaysia yang hilang disahkan terkorban  menjadikan keseluruhannya empat orang.
Tiga lagi jemaah haji Malaysia yang hilang disahkan terkorban menjadikan keseluruhannya empat orang.
Oleh Yusmizal Dolah Aling & Mahaizura Abd Malik


Kelana Jaya: Tiga lagi jemaah haji Malaysia yang hilang dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah, Jumaat lalu disahkan terkorban menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia setakat ini empat orang.

Mereka ialah Siti Nuroshlizan Zolkifli,37, dari Tanah Merah, Kelantan; Munah Jusoh,73, (Cherang Ruku, Kelantan) dan Rohana Ismail,54, (Kuala Krai, Kelantan)

Perkara itu disahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam sidang media malam tadi selepas menerima maklumat kira-kira 6 petang waktu Arab Saudi.

"Ketiga-tiga jenazah dikenal pasti oleh waris mereka di Tanah Suci berdasarkan tanda pengenalan diri masing-masing.

"Seorang lagi jemaah yang hilang iaitu Abdul Muluk Ishak,71, tersesat ke kawasan penginapan jemaah haji Thailand dan kemudian muassasah Thailand menghantarnya ke pengelola jemaah haji, Andalusia sebelum dihantar ke balik ke Tabung Haji.

"Jadi dengan ini saya sahkan jumlah terkorban ialah empat orang manakala yang masih hilang berbaki tiga orang lagi," katanya.

Dalam sidang media terdahulu, Jamil Khir mengumumkan Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak disahkan terkorban dalam tragedi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 12:19 AM