POSTER filem Pontianak Menangis yang mendapat pelbagai komen daripada orang ramai.
POSTER filem Pontianak Menangis yang mendapat pelbagai komen daripada orang ramai.
Oleh Wahi Aziz


Kuala Lumpur: Penerbit filem Pontianak Menangis bersikap terbuka dengan cemuhan orang ramai terhadap poster filem berkenaan yang didakwa tidak berkualiti dan dibuat sambil lewa.

Penerbitnya, Hamzah Amir berkata, pelbagai kritikan daripada pengguna Internet terhadap poster filem komedi seram itu menunjukkan ia mendapat perhatian ramai.

"Saya tidak ada masalah dengan semua itu. Bagi saya, itu juga petanda baik menunjukkan kewujudan filem ini disedari masyarakat. Lebih baik orang bercakap mengenainya daripada orang tidak bercakap langsung. Sama ada komen positif atau negatif, ia perkembangan baik untuk promosi," katanya kepada Harian Metro.

Poster filem arahan Ismail Jejaka itu mencuri perhatian umum apabila ia disebarkan di pelbagai platform media sosial sejak semalam.

Antara kritikan diterima ialah poster berkenaan didakwa berkualiti rendah, kelihatan tidak serius sebagai produk filem, tangkap muat dan langsung tidak menarik minat penonton.

Filem terbitan Heart N Soul Sdn Bhd itu dibintangi Watie Sadali, Joey Daud, Yassin SYJ, Hamdan Senario dan Soya. Ia akan ditayangkan mulai 1 Oktober depan.

Dalam pada itu, Hamzah menafikan pihaknya menghasilkan poster itu secara sambil lewa dan tangkap muat.

Mereka ada menyenarai pendek beberapa poster sebelum sepakat memilih yang terbaik.

"Kami tidak tangkap muat masa buat pemilihan poster filem itu. Malah, ada beberapa rekaan poster kami senaraikan dan teliti sebelum memilih yang terbaik.

"Pemilihan juga dilakukan atas persetujuan pengarah yang mahu ia menonjolkan barisan pelakon filem berkenaan berbanding kisah puntianak.

"Poster itu dipilih kerana ia dilihat bersesuaian dengan konsep filem dan boleh menarik perhatian ramai berdasarkan gambar-gambar pelakonnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 8:19 PM