Mohd Ariff (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat susulan poster dimuat naik pengguna media sosial Fahmi Reza. FOTO Ihsan Pemuda Umno Perak.
Mohd Ariff (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat susulan poster dimuat naik pengguna media sosial Fahmi Reza. FOTO Ihsan Pemuda Umno Perak.
Balqis Jazimah Zahari


Kuala Kangsar: Pergerakan Pemuda Umno Perak membuat laporan polis berhubung dua hantaran di media sosial yang didakwa memfitnah dan menimbulkan kebencian terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid berkata, hantaran itu ia dimuat naik pengguna media sosial, Fahmi Reza, yang menunjukkan poster gambar dan nama Saarani bersama keterangan 'Kita dah bagi makan sardin, jangan gatal nak mintak ayam pulak'.

"Poster itu menjadi viral serta mengundang kecaman dan maki hamun pengguna media sosial lain seolah-olah Menteri Besar bersikap angkuh dalam isu pemberian telefon pintar kepada pelajar miskin di Perak.

"Untuk kepastian, saya merujuk sebuah klip video di laman Facebook (FB) rasmi Menteri Besar Perak dan mendapati ungkapan seperti tertera di poster yang dimuat naik Fahmi Reza adalah tidak benar dan tidak pernah disebut oleh Datuk Saarani," katanya selepas membuat laporan polis berkenaan di Balai Polis Kuala Kangsar, pada Khamis.

Berdasarkan video sidang akhbar Saarani, Mohd Ariff berpandangan menteri besar itu sekadar memberi analogi mengenai pemberian sumbangan telefon pintar oleh Yayasan YTL untuk diagih kepada pelajar miskin.

"Beliau beranalogi untuk menggambarkan tidak manis sekiranya kerajaan negeri menolak pemberian berkenaan kerana ia diberi secara percuma untuk kemudahan pelajar.

"Sehubungan itu, adalah amat jelas poster yang dimuat naik Fahmi Reza bersifat fitnah dan secara sengaja dibuat untuk menimbulkan kebencian," katanya yang memberitahu laporan untuk memboleh siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 12:32 AM