POSTER yang tertera maklumat dan gambar Aiman Tino.
POSTER yang tertera maklumat dan gambar Aiman Tino.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Aiman Tino, 24, tidak tahu poster acara Karnival Dinosaur Born In Sabah di Lahad Datu yang dihadirinya semalam jadi tular dan dipertikaikan ramai.

Aiman yang sepatutnya menjadi artis jemputan dipersenda sebagai 'dinosaur' dan 'orang hilang' kerana maklumat dalam poster terbabit mengelirukan selain reka grafiknya tidak menarik.

"Saya sebenarnya pun baru tahu poster itu jadi perbualan ramai. Saya cuma memenuhi undangan penganjur dan menunaikan tugasan saya menghibur penonton di acara itu.

"Poster promosi itu semuanya disediakan penganjur. Saya tak mahu komen apa-apa berkenaan rekaannya sehingga tular dan saya okey saja tak kisah pun.

"Saya dapati foto yang mereka gunakan pun foto lama saya. Tapi tak apalah asalkan saya ke sana pun untuk tujuan kerja dan tunaikan permintaan saya," katanya.

Poster promosi terbabit dikongsi sebuah laman Facebook milik Lahad Datu Info. Meninjau ruangan komen, kebanyakannya mengutuk rekaan terbabit yang disifatkan terlalu teruk.

Tajuk poster itu membuatkan orang mempersendakan dengan dinosaur yang dimaksudkan adalah Aiman. Tidak ketinggalan di ruangan komen ia seperti poster orang hilang dan poster pilihan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 4:17 PM