Kuala Lumpur: “Saya sedia tawarkan diri bantu FAM kembalikan kegemilangan era 60-an dan 70-an,” kata bekas orang kuat bola sepak Asia, Datuk Peter Velappan.

Velappan, bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata, beliau sanggup menghulurkan kepakarannya kerana terlalu sedih dengan perkembangan sukan itu di negara ini yang seakan ‘mati’ berikutan rentetan keputusan buruk yang dicatat skuad negara.

Tokoh bola sepak Asia itu yang akan genap berusia 80 tahun pada 1 Oktober ini, mencadangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mewujudkan jawatankuasa khas untuk mengkaji langkah terbaik mengembalikan kegemilangan skuad negara yang pernah dikecapi pada era 60-an dan 70-an.

Menurutnya jawatankuasa itu perlu dianggotai wakil FAM, pakar dari Jerman dan Jepun, selain semua pemegang amanah termasuk Kementerian Pendidikan, persatuan negeri, kelab, Majlis Sukan Negara dan penaja program pembangunan bola sepak di negara ini.

“Pengarah Teknikal AFC, Andy Roxburgh juga perlu dimasukkan ke dalam jawatankuasa itu kerana beliau mempunyai pengalaman hampir 30 tahun khususnya dalam program pembangunan belia di negaranya, Scotland,” katanya semalam.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 8:11 AM