PENGUNJUNG melihat teknik tanaman pokok tin sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah (HPPNK) 2015 di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.
PENGUNJUNG melihat teknik tanaman pokok tin sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah (HPPNK) 2015 di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.
PENGUNJUNG membeli buah-buahan di gerai FAMA.
PENGUNJUNG membeli buah-buahan di gerai FAMA.
AHMAD Shabery (kanan) bersama Mukhriz melihat arnab jenis teddy bear.
AHMAD Shabery (kanan) bersama Mukhriz melihat arnab jenis teddy bear.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Tema Agroteknologi Pemangkin Transformasi dianggap bertepatan dalam usaha menuju negara maju menjelang 2020.

Ketika itu, peladang, penternak dan nelayan memasuki era lebih moden, berdinamik dan berdaya saing.

Malah penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah (HPPNK) 2015 di Taman Jubli Emas, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini, platform terbaik untuk mempelajari teknologi baru, mencari ruang pemasaran, mempamer dan mempromosi produk mereka.

Program itu turut mendapat sambutan menggalakkan apabila dikunjungi puluhan ribu orang yang bukan saja membeli pelbagai produk dipasarkan malah mempelajari dan meneroka peluang baru dalam sektor terbabit.

Malah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui program itu memberi peluang dan ruang luas kepada peladang, penternak dan nelayan untuk meningkatkan usaha masing-masing setiap kali ia diadakan.

Beliau berkata, program itu dapat melalui pembelajaran teknologi baru, mencari ruang pemasaran, mempamer dan mempromosi produk masing-masing.

“Komitmen dan sokongan diberikan peladang, penternak dan nelayan terhadap bidang pertanian turut membantu usaha kerajaan negeri memajukan industri pertanian sebagai antara industri utama negeri.

“Selaras dengan tema yang dipilih sudah tiba masanya mereka membuat suatu anjakan transformasi untuk menjadikan sektor ini lebih moden, dinamik dan berdaya saing.

“Hal ini amat penting kerana negara kita sedang menuju era negara maju apabila ekonomi negara perlu dipacu dengan penggunaan teknologi moden,” katanya ketika berucap merasmikaN HPPNK 2015.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Kedah Datuk Suraya Yaacob.

Mukhriz berkata, bagi menghadapi persaingan global dalam persekitaran ekonomi yang dipacu oleh inovasi, Amalan Pertanian Baik atau Good Agricultural Practice (GAP) sebenarnya memainkan peranan yang amat penting dalam menjana sektor pertanian ke arah lebih progresif.

“Dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), Mei tahun lalu juga menggariskan enam strategi tumpuan apabila strategi yang keempat adalah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan dan daya tahan.

“Di bawah strategi ini penekanan diberikan untuk meningkatkan daya tahan pertumbuhan sosioekonomi bagi memastikan hasil pembangunan negara tidak terjejas dan taraf hidup yang dinikmati oleh generasi masa kini terus ditingkatkan untuk generasi masa depan,” katanya.

Beliau berkata, daya tahan dalam sektor pertanian bukan saja penting untuk menjamin sumber makanan, tetapi juga pertumbuhan ekonomi.

“Penyelidikan dan pembangunan terutamanya mengenai amalan pertanian yang mengambil kira perubahan iklim akan dipergiatkan dan amalan pertanian baik akan diperluaskan.

“Kerajaan negeri juga sudah menggariskan Pelan Transformasi Ekonomi sebagai teras utama di dalam Pelan Strategik Negeri Kedah 2014-2018.

“Sektor pertanian pula menjadi fokus utama memandangkan sumber pendapatan utama negeri ini adalah dari sektor berkenaan bertepatan dengan jolokan sebagai Jelapang Padi,” katanya.

Menurutnya, antara pelan tindakan yang digariskan ialah pembangunan industri padi dan buah-buahan, program pemasaran sayur-sayuran dan tanaman kontan serta pembangunan industri akuakultur di Zon Industri Akuakultur (ZIA).

“Saya difahamkan Menteri Pertanian dan Industri Asas juga menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi mencapai pengeluaran padi sebanyak tujuh tan sehektar bagi purata Kawasan MADA pada tahun 2015.

“Sasaran ini adalah wajar dan perlu dicapai oleh MADA bersama-sama dengan semua peladang-peladang di kawasan MADA.

“Di samping itu, ia dapat meningkatkan sumbangan kepada pengeluaran beras negara, peningkatan hasil padi juga dapat meningkatkan pendapatan petani sekali gus membolehkan kita berada di landasan yang tepat di dalam mencapai visi Negara Maju pada 2020,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengumumkan peruntukan berjumlah RM1 juta di bawah Unit Pemba­ngunan Usahawan Kedah (UPUK) untuk kemudahan pinjaman mikro kepada sektor pertanian.

“Kemudahan ini adalah untuk membiayai usahawan tani mening­katkan prestasi perniagaan masing-masing.

“Pinjaman yang ditawarkan merangkumi pembiayaan modal kerja, pembiayaan projek dan pembelian peralatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 12:31 PM