ZAINAL memotong riben.
ZAINAL memotong riben.
ZAINAL menyerahkan bantuan elaun sara hidup nelayan.
ZAINAL menyerahkan bantuan elaun sara hidup nelayan.
Oleh Mohamad Hussin

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dalam usaha memajukan industri pertanian negara serta membela nasib peladang, penternak, nelayan dan usahawan asas tani, sekali gus membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup di negara ini.

Sehubungan itu, MOA mengambil inisiatif menubuhkan Agrobazaar Rakyat 1Malaysia sebagai platform pertemuan antara petani, nelayan dan penternak dengan suri rumah serta rakyat biasa yang mahukan cawangan menawarkan produk dan hasil segar pada harga paling minimum.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Zainal Dahalan berkata, dalam usaha membantu rakyat mendapatkan bekalan produk segar pada harga berpatutan, MOA mengambil langkah mewujudkan bazar berkenaan.

Beliau berkata, menyedari adanya pemintaan tinggi bagi produk itu, MOA mengambil langkah untuk membangunkan Agrobazaar Rakyat 1Malaysia di seluruh negara dalam tempoh lima tahun mulai tahun ini.

“Kami menyasarkan 600 cawangan dibangunkan dengan 50 cawangan pada tahun ini. Saya juga menyasarkan 40 peratus ditumpukan kepada jualan produk segar dan 70 peratus daripadanya bekalan setempat.

“MOA memerlukan sokongan kerajaan melalui peruntukan dana khas sebanyak RM4.2 juta bagi mewujudkan 50 cawangan Agrobazaar Rakyat pada tahun ini.

“Pendekatan pelaksanaan Agrobazaar Rakyat 1Malaysia ialah berasaskan konsep menaik taraf dan penyeragaman imej, sistem pengurusan dan susun atur kedai dimiliki pengusaha,” katanya, ketika berucap pada majlis perasmian Agrobazaar Rakyat 1Malaysia sempena program Jimat Kos Sara Hidup di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, baru-baru ini.

Zainal berkata, dengan adanya bazar agro ini rakyat akan mendapat bekalan makanan pada harga berpatutan yang dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian apabila membeli di rang­kaiannya.

“Manakala golongan petani, penternak dan nelayan serta usahawan asas tani dapat menjadikan Agrobazaar Rakyat 1Malaysia sebagai premis bagi memasarkan hasil keluaran mereka.

“Kerajaan mahu semua lapisan rakyat mendapat manfaat daripada Agrobazaar Rakyat 1Malaysia ini. Pusat ini juga akan menyediakan perkhidmatan ejen perbankan Agrobank dan Tekun Nasional (TEKUN) dan pusat penyelesaian bil setempat.

“Terdapat tiga model yang akan disediakan iaitu model kedai kampung, model kedai satu pintu dan model kedai dua pintu,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini MOA mewujudkan rangkaian cawangan runcit seperti Agro Bazaar Kedai Rakyat (AKR) sebanyak 309 buah, Agro Bazaar K-Shoppe sebanyak 148 buah, Kedai Persatuan Nelayan (PN) 40 buah dan Kedai Peladang 115 buah.

“Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewujudkan 142 cawangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

“Berbeza dengan KR1M dimiliki syarikat pengendali kerana rangkaian cawangan Agrobazaar Rakyat 1Malaysia dimiliki oleh usahawan.

“Agrobazaar Rakyat 1Malaysia ini dibangunkan di kawasan luar bandar dan pinggir bandar, berbanding KR1M yang kebanyakannya beroperasi di bandar besar,” katanya.

Zainal berkata, kewujudan Agrobazaar Rakyat 1Malaysia ini boleh memberi manfaat kepada penduduk luar bandar terutama bagi mendapatkan kumpulan produk dan barangan segar seperti sayur, buah, ikan, daging, ayam dan barangan industri asas tani, berbanding yang lebih mengetengahkan produk kering.

“MOA menggerakkan semua agensinya untuk menjayakan program ini kerana mahu memastikan sektor agromakanan terus diberi keutamaan untuk menampung keperluan rakyat.

“Antara agensi utama yang terbabit dalam menjayakan program ini ialah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 9:35 AM