AHMAD Shabery (tengah) bersama wakil peladang muda selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Shabery (tengah) bersama wakil peladang muda selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan. FOTO Ghazali Kori
Ahmad Rabiul Zulkifli


PETANI di Terengganu akan diberikan Lesen Menduduki Sementara (LMS) untuk mengusahakan tanah terbiar dalam usaha membantu meningkatkan perolehan pertanian dalam kalangan petani di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, pegawai di pejabat tanah dan galian di seluruh negeri sudah diarah mengenal pasti tanah milik kerajaan untuk diiklankan.

"Kerajaan negeri sedang mengumpul data tanah pertanian di seluruh negeri untuk diiklankan kepada petani.

"Kami akan mengumpul data tanah yang kosong untuk dibawa ke mesyuarat Exco sebelum diiklankan di semua pejabat tanah dan galian di seluruh negeri ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kali ke-42 peringkat negeri di Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu, hari ini.

Muhammad Pehimi berkata, petani yang berminat untuk mengusahakan tanah itu terutamanya membabitkan tanaman kontang akan diberi LMS.

"Kerajaan negeri akan menyediakan pelbagai kemudahan asas termasuk jalan raya, sistem perparitan dan bekalan air ke setiap lot tanah sebelum ditawarkan kepada petani," katanya.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kebangsaan, Tan Sri Zainal Dahalan dan Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan, Nawi Mohammad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 2:04 PM