KETENGAHKAN warna semula jadi dan cerah untuk bilik air.
KETENGAHKAN warna semula jadi dan cerah untuk bilik air.
DINDNG kaca membentuk ruang tanpa halangan pandangan.
DINDNG kaca membentuk ruang tanpa halangan pandangan.
CIPTA ilusi ruang yang mampu menarik perhatian dan kelihatan lebih luas.
CIPTA ilusi ruang yang mampu menarik perhatian dan kelihatan lebih luas.
PENATAAN ringkas lebih selesa dan memudahkan anda untuk pembersihan dan penyelenggaraan.
PENATAAN ringkas lebih selesa dan memudahkan anda untuk pembersihan dan penyelenggaraan.
PASTIKAN kelengkapan di bilik air anda tidak dibiar bersepah.
PASTIKAN kelengkapan di bilik air anda tidak dibiar bersepah.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Perkembangan dekorasi di bilik air juga dilihat selari dengan penataan ruang lain dalam rumah dan pejabat.

Mengalami evolusi tersendiri kerana pada abad ke-20 bilik air dikatakan mula menampilkan gaya mewah dan privasi.

Malah, ruang berkenaan turut menjadi kebanggaan suri rumah di Amerika Syarikat. Pada 1950-an pula bilik air berasingan untuk ibu bapa dan kanak-kanak mula menarik perhatian di negara itu.

Pada 1960-an jakuzi dan tab mewah banyak diketengahkan dan secara tidak langsung mencerminkan gaya hidup masyarakat ketika itu.

Hari ini bilik air diwujudkan bersama bilik mandi dalam saiz besar dengan teknologi yang membantu memudahkan urusan.

Lampu dipasang secara automatik, pancuran berganda dengan suhu yang boleh diprogramkan, peralatan stereo serta idea dekorasi selesa nyata membuatkan ruang itu antara terpenting.

Ia berbeza berbanding abad ke-18 yang dikatakan sekadar menyediakan bilik air dalam ruang kecil, terhad dan tidak dianggap antara ruang yang perlu diberi perhatian.

Jika dulu, ia sekadar memenuhi tuntutan rutin, aliran perubahan menyebabkan ruang itu kini menjadi tempat berehat dan bersendirian.

Gaya penataannya mula dipelbagaikan supaya tampil menarik dengan reka bentuk lebih kondusif.

Bilik air konsep moden pula antara yang menjadi pilihan kebanyakan masyarakat negara ini terutama generasi muda.

Banyak perkara perlu diambil kira supaya idea dekorasi diketengahkan benar-benar memenuhi cita rasa.

Kebanyakan kita memilih mandi secara pancuran atas dasar ia cepat dan ekonomikal.

Bagaimanapun, ada juga yang ingin mencuba kelainan dengan menempatkan tab mandi di ruang itu untuk suasana rehat atau memanjakan diri ketika mandi.

Seterusnya kenal pasti saiz ruang bagi mengelakkan pilihan kelengkapan tidak sesuai. Ambil ukuran dengan melukis pelan lantai merujuk ukuran tepat kerana kesilapan mungkin menjadikan bilik air bertambah sempit.

Begitu juga dengan pilihan singki saiz besar membazirkan ruang jika keluasan terhad.

Ketengahkan warna semula jadi dan cerah untuk bilik air kerana secara tidak langsung membiaskan cahaya.

Ruang penyimpanan, kabinet dan singki yang ditampilkan dalam warna senada dinding juga turut dicadangkan.

Malah, ruang bertukar luas dengan bantuan ilusi visual. Siling yang tinggi juga dapat membantu dan tampal kertas dinding corak menegak sesuai dengan bilik air.

Selain itu, bingkai kayu, kertas sempadan dinding dan jubin yang diletak antara dinding dengan siling menyuntik warna pada ruang berkenaan.

Tidak ketinggalan tingkap memberi ‘mood’ melalui fungsinya yang membenarkan kemasukan cahaya dan udara.

Elakkan memasang langsir, sebaliknya pilih kaca kabut menggantikan kaca telus. Penggunaan bidai atau fabrik nipis polos yang menutup sebahagian tingkap sangat digalakkan.

Pada masa sama, pembalikan imej membolehkan ruang kelihatan lebih luas. Ia dilakukan dengan meletakkan cermin di dua dinding bertentangan.

Pencahayaan luar yang memantul pada cermin menjadikan ruang lebih terang. Ini secara tidak langsung membantu mengurangkan penggunaan cahaya lampu.

Kelebihan dinding kaca pula sebenarnya tidak membantu memperluaskan ruang seperti cermin.

Bagaimanapun, ia boleh membentuk ruang tanpa halangan pandangan. Menggunakan dinding kaca sebagai sempadan ruang mandi sangat digalakkan berbanding memilih tirai bermotif yang lebih menyempitkan ruang.

Sebaiknya barang keperluan untuk bilik berkenaan perlu disimpan pada ruang penyimpanan yang kemas dan ringkas.

Anda juga perlu mengoptimumkan penggunaan ruang itu. Pastikan perkakasan di dalamnya tidak dibiar bersepah dan berserabut. Ruang penyimpanan pula seharusnya dekat dan mudah dicapai

Aspek kemasan lantai turut menentukan keseluruhan gaya ruang. Gabungan warna dan corak kemasan lantai dengan kelengkapan faktor penentu ruang tampil luas. Anda juga bebas memilih kemasan jubin polos yang mudah dibersihkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:00 AM