BILIK tidur yang kemas membolehkan anda menikmati suasana tidur lebih privasi.
BILIK tidur yang kemas membolehkan anda menikmati suasana tidur lebih privasi.

Anda yang tidak berpeluang mengemas rumah mengikut jadual harian atau mingguan masih memerlukan jadual atau rutin bulanan bagi memastikan ruang kediaman serta laman kemas dan bersih sepanjang masa.

Sekurang-kurangnya masa yang terluang itu mengembalikan seri ruang untuk menerima kunjungan tetamu bila-bila masa sepanjang Ramadan.

Rutin bulanan juga membantu mengelak habuk atau kotoran menebal di celah perabot atau peralatan lain.

Mungkin anda boleh mulakan rutin ini dengan membersihkan kipas di siling.

Gunakan tangga dan lap bilah-bilah kipas di bahagian atas dan bawah. Ia penting sebelum debu menjadi tebal dan tidak berterbangan setiap kali kipas berfungsi.

Kedua, bersih sawang dan sudut dinding yang biasanya kita terlepas pandang.

Dapatkan pembersih sawang yang panjang dan lakukan di siling yang bersawang.

Jika sawang itu tidak dibersihkan, mungkin debu boleh jatuh dalam makanan atau minuman tanpa anda sedari.

Lakukan juga rutin bulanan mengelap tingkap kerana debu jalanan dan kotoran dari jalan raya atau kawasan sekeliling mungkin melekat di tingkap kediaman anda. Justeru itu kebersihan tingkap tidak boleh diabaikan atau dipandang remeh.

Apabila selesai mengelap cermin tingkap, bersihkan pula kekisinya. Di bahagian ini banyak debu yang terperangkap.

Seterusnya mengelap debu pada rak buku terutama yang tidak mempunyai pintu atau kabinet terbuka.

Anda boleh menggunakan bulu ayam atau vakum saja permukaan buku-bukunya yang ada satu persatu.

Debu amat mudah melekat pada buku yang terdedah dan ia membuatkan bahagian rak buku anda tidak bersih.

Selain itu, lakukan pendekatan dengan sesekali menukar susunan buku supaya anda dapat melihat sekiranya ada anai-anai atau serangga lain yang bersarang di situ.

Rutin bulanan mengemas rumah juga menuntut anda memberi perhatian kepada permukaan atas kabinet yang tinggi.

Ini kerana bahagian berkenaan sering diabaikan dan terlepas pandang kerana kabinet yang tingginya melebihi paras mata.

Paling tidak buang habuk atau lap permukaan atasnya bagi mengelakkan debu atau habuk terperangkap.

Menjemur permaidani pula memerlukan pembabitan ahli keluarga bukannya anda seorang.

Ini kerana rutin ini memerlukan permaidani dihampar atau dijemur pada tempat sesuai seperti di kawasan laman rumah yang terdedah dengan pancaran matahari.

Ia penting untuk membunuh hama atau baketria halus yang mungkin terperangkap pada permaidani itu.

Selepas permaidani itu dijemur ketuk atau ‚pukul‘ dengan batang penyapu untuk membuang sisa-sisa habuk yang ada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 12:21 PM