PEMANDANGAN Kuil Bel di kota Palmyra yang dirakam pada 2008.
PEMANDANGAN Kuil Bel di kota Palmyra yang dirakam pada 2008.
AFP

Beirut: Satu letupan kuat di kota purba Palmyra di Syria pada Ahad lalu menimbul kebimbangan kumpulan militan Negara Islam (IS) mungkin merosakkan satu lagi tapak warisan terkenal di Timur Tengah.

Ketua kaji purba Syria dan kumpulan pemantau melaporkan letupan kuat di Tapak warisan Dunia UNESCO berkenaan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa percanggahan maklumat mengenai nasib Kuil Bel yang terkenal di kota purba itu.

Kumpulan Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, militan IS meletupkan bom di dalam kuil berusia 2,000 tahun itu menyebabkan sebahagian binaannya musnah.

Seorang aktivis dari Palmyra, Mohammad Hassan al-Homsi juga melaporkan sebahagian Kuil Bel musnah dalam letupan berkenaan.

Menurutnya, bahagian dalaman kuil itu musnah dalam letupan berkenaan.

“Ini adalah kuil paling penting kepada pelancong dan penduduk Palmyra.

“Penduduk Palmyra mengadakan pelbagai perayaan di kuil ini,” katanya.

Bagaimanapun, pengarah jabatan warisan Syria, Maamoun Abdulkarim berkata, letupan itu tidak menyebabkan kerosakan teruk pada kuil berkenaan.

“Bahagian hadapan dan dalam kuil itu kelihatan tidak mengalami kerosakan teruk.

“Daripada maklumat yang diterima, kuil itu masih berdiri, tetapi petugas kami tidak dapat masuk ke kawasan itu untuk melihat dengan lebih dekat,” katanya.

Kumpulan itu sering memusnahkan patung, makam dan tapak purba di Syria dan Iraq dengan alasan ia diharamkan dalam Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 9:09 AM