VAN GAAL (tengah)
VAN GAAL (tengah)
AFP

Swansea, Wales: Pengurus Manchester United, Louis van Gaal menegaskan beliau tidak akan memasuki pasaran perpindahan untuk menyelesaikan masalah jaringan pasukannya berikutan kekalahan 1-2 kepada Swansea City.

Juan Mata memberikan United gol pendahuluan pada minit ke-48 di Stadium Liberty kelmarin, namun selepas pengurus Swansea, Garry Monk mengubah bahagian tengahnya kepada formasi berlian, tuan rumah meledak dua gol dalam tempoh lima minit.

Andre Ayew menyamakan kedudukan pada minit ke-61 menerusi tandukan yang mengatasi Sergio Romero sebelum melakukan hantaran cantik kepada Bafetimbi Gomis untuk mengatasi Romero dari jarak dekat bagi gol kemenangan.

Terjahan lewat Ashley Williams menafikan Wayne Rooney gol penyamaan pada lewat perlawanan, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah United dan menyebabkan pasukan Van Gaal hanya mengumpul tiga gol dalam empat perlawanan liga.

Ditanya jika beliau mahu memantapkan skuadnya dengan tambahan penyerang sebelum jendela perpindahan pemain ditutup hari ini, Van Gaal membalas: “Sebuah kelab seperti United tidak akan berpuas hati.

“Tapi kami tidak akan membeli pada hari terakhir perpindahan pemain yang kami tidak pantau sebelum ini.

“Kami tahu apa yang berlaku di bahagian serangan. Ia bukan satu isu. Apabila ia seperti itu kami perlu teruskan dan pada Januari ini, jendela perpindahan dibuka sekali lagi.

“Ia satu proses dan saya tidak boleh mengubah proses itu kerana anda bergantung bukan saja terhadap pemain yang anda perlukan, tapi juga kelab.”

Satu isu yang masih menghantui Van Gaal adalah penjaga gol David De Gea.

Van Gaal menggugurkan De Gea berikutan spekulasi beberapa bulan yang mengaitkan pemain Sepanyol itu dengan perpindahan ke Real Madrid, namun pengurus itu berkata, beliau enggan mencampuri urusan perpindahan kelab itu.

“Kami perlu tunggu dan lihat,” katanya. “Saya tidak mahu menyibuk. Sebagai kelab, kami mempunyai tugas berbeza dan tugas itu dipegang Ed Woodward (naib pengerusi eksekutif) bukannya saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:44 AM