Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pemain gantian S Chanturu (gambar) muncul ‘super sub’ selepas meledak gol kemenangan untuk memastikan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menewaskan FELDA United 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Tanpa berlengah sebaik babak pertama bermula, skuad Harimau Selatan melancarkan serangan awal dengan Jorge Pereyra Diaz bertindak melakukan sepakan lintang di dalam kotak penalti pada minit ke-7 namun, kepantasan penjaga gol Farizal Harun menghalang Juan Martin Lucero daripada menyambar peluang terbuka itu.

Ketika aksi memasuki minit ke-18, skuad bimbingan Mario Gomez mengasak lagi ke kubu FELDA United menerusi sepakan percuma kapten Safiq Rahim namun, tandukan Lucero menyaksikan tiada pemain menyambut untuk membuat penyudah terakhir.

Namun, anak didik Irfan Bakti Abu Salim terlebih dulu memecah kebuntuan pada minit ke-28 selepas hantaran Hadin Azman ditanduk kemas Lutfullah Turaev yang tidak dikawal bagi menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Pelawat hampir merobek gawang tuan rumah pada minit ke-37 selepas Hadin melepasi kawalan S Kunanlan namun, Farizal berjaya menutup sudut gawang yang menyaksikan rembatan pemain sayap kiri FELDA United itu dihalang.

Pelawat yang ‘berkampung’ pada lima minit terakhir babak pertama tatkala mendahului dengan jaringan 1-0 nyata menyukarkan tuan rumah untuk mencari gol penyamaan walaupun melancarkan serangan bermula di posisi tengah selain bergerak di bahagian sayap kiri dan kanan.

Malah, pada minit akhir, sepakan percuma Safiq yang menuju tepat ke penjuru kanan sempat ditepis Farizal bagi mengelak gawang dibolosi untuk memastikan kedudukan kekal 1-0.

Usaha berterusan tuan rumah memburu gol penyamaan akhirnya menjelma pada minit ke-50 selepas Lucero yang merampas bola daripada Adib Aizudin Ab Latif pantas melorong kepada Pereyra Diaz yang merembat leret menewaskan Farizal.

Pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-62 selepas Adib Aizudin mengasari S Kunanlan menyaksikan pemain itu dilayangkan kad kuning kedua untuk kad merah.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya tuan rumah untuk memastikan kemenangan selepas lorongan Pereyra Diaz membuka ruang buat pemain gantian Chanthuru yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti untuk merembat leret menewaskan Farizal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 9:17 AM