PENJAGA gol FELDA Farizal Harun (kiri) tenang mengawal pintu gol.
PENJAGA gol FELDA Farizal Harun (kiri) tenang mengawal pintu gol.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Penyerang import FELDA United, Lucas Cano harus dipersalahkan ketika pasukannya FELDA United sekadar seri tanpa jaringan dengan kelab Filipina, Ceres Negros di halaman lawan dengan pemain dari Argentina itu memiliki tiga peluang terbaik untuk mencatat nama selaku penjaring.

Pada aksi ketiga Kumpulan G di Stadium Pana’ad, Bacolod City itu, kedua-dua pasukan memperagakan aksi membosankan dengan penguasaan bola hanya banyak berlegar di tengah padang.

Ketika aksi menuju pertengahan babak pertama, pemain pelawat Hadin Azman berjaya melepaskan satu rembatan deras pada minit ke-26 namun percubaan itu mudah dihalang penjaga gol tuan rumah, Roland Muller.

Tuan rumah yang sesekali bangkit mengatur serangan dilihat berdepan kesukaran melepasi pertahanan kental FELDA hasil kawalan kemas ketua pasukan, Shukor Adan dan gandingannya Nor Fazly Alias.

Bersambung babak kedua menyaksikan skuad The Fighters memperkemaskan rentak permainan dengan sepakan percuma Cano hampir memecah kebuntuan pada minit ke-46.

Seharusnya FELDA sudah mampu berada di depan pada minit ke-60 apabila kelab yang berpangkalan di Jengka, Pahang itu dihadiahkan sepakan penalti namun Cano yang ditugaskan mengambil sepakan itu gagal menyempurnakannya.

Sepakan itu diberikan susulan hadangan keras pertahanan tuan rumah, Jose Porteria dalam kotak penalti ke atas Norshahrul Idlan Talaha yang berjaya melepasi tiga pemain dengan Cano mensia-siakan peluang keemasan itu apabila Muller mudah mengagak arah sepakannya.

Kecemerlangan penjaga gol kebangsaan Filipina itu nyata membakar semangat rakan sepasukannya apabila hampir menemui jaringan lima minit selepas itu, namun rembatan pada Fernando Rodriguez sekadar melintasi gawang Farizal Harun.

Ketumpulan penyudah Cano sekali lagi mengecewakan pelawat apabila hantaran cantik Zah Rahan Krangar pada minit ke-81 gagal diterjemahkan penyerang itu biarpun gawang tuan rumah sudah ternganga luas untuknya.

Menuju penghujung saingan, skuad kendalian B Sathianathan mempertingkatkan tempo perlawanan namun ketumpulan jentera serangan jelas mengecewakan pasukan dan hanya berpuas hati membawa pulang satu mata.

Berdasarkan keputusan itu, FELDA kekal di tangga tercorot kumpulan dengan mengumpul dua mata daripada tiga aksi manakala Ceres kekal di tangga teratas sekalipun Hanoi FC membenam Tampines Rovers 4-0.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 8:33 AM