Hafiz Ithnin


HAMPIR empat tahun si pemilik rumah pertama ini membuat perancangan lengkap bagi membolehkan dia memiliki aset berkenaan.

Bagi lelaki berusia lebih 35 tahun ini, strategi memainkan peranan penting untuk membeli rumah kerana ia membabitkan komitmen pembiayaan dalam tempoh lama.

Dalam tempoh empat tahun itu, Sufian Ghaffar bukan sekadar membuat tinjauan mengenai lokasi terbaik untuk memiliki rumah pertama semata-mata. Malah, turut mengukur kemampuan aliran tunai peribadi supaya berada dalam keadaan selesa selepas membeli rumah berkenaan.

Sufian berkata, pada awalnya dia berhasrat membeli rumah dalam segmen teres, tetapi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang khasnya, begitu sukar mendapatkan rumah berkenaan yang sesuai dengan bajet peribadinya.

"Akhirnya pada 2021 saya mendapat tahu mengenai sebuah projek di Cyberjaya yang menawarkan rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi dan harga jualan sekitar RM250,000. Harganya amat sesuai dengan bajet yang saya letakkan untuk membeli rumah.

"Lebih menarik reka bentuk dan keluasannya mencapai 1,000 kaki persegi menjadikan faktor penarik untuk saya memiliki rumah ini memandangkan agak sukar mendapat sebuah rumah berharga RM250,000 dengan keluasan berkenaan," katanya.

MEMBELI kelengkapan sedikit demi sedikit sebelum mendapat kunci.
MEMBELI kelengkapan sedikit demi sedikit sebelum mendapat kunci.

Jelasnya, rumahnya dalam segmen apartmen itu mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air. Antara lain yang menarik perhatiannya membeli rumah itu adalah kedudukan barisan bilik yang agak privasi kerana mempunyai lorong khas untuk masuk ke bilik.

Dia yang baharu sahaja mendapat kunci pada Mei tahun lalu turut memberi perhatian kepada persekitaran rumah yang tidak terlalu sibuk dan bising terutama pada hari cuti atau malam.

Katanya, walaupun Cyberjaya amat dikenali sebagai sebuah lokasi teknologi, tetapi kawasan itu tidak begitu sesak seperti di ibu negara membuatkan antara faktor dia memutuskan untuk memiliki rumah itu.

SUFIAN tidak tergesa-gesa untuk memiliki kediaman.
SUFIAN tidak tergesa-gesa untuk memiliki kediaman.

"Saya bekerja di tengah-tengah Kuala Lumpur pastinya apabila pulang ke rumah inginkan suasana yang berlainan dan ketenangan. Jadi, saya berasakan kawasan ini agak senyap pada sebelah malam.

"Sebelum memutuskan untuk membeli rumah ini, saya meninjau kawasan sekitarnya pada sebelah malam dan hujung minggu. Ternyata tidak begitu sesak dan tenang berbanding di kawasan bandar," katanya.

Pesannya, perkara paling utama untuk membeli rumah pertama adalah jangan tergesa-gesa membuat keputusan atau terpengaruh dengan rakan-rakan yang sudah mempunyai aset berkenaan.

"Pada hemat peribadi, jangan terlalu tergesa-gesa kerana membeli rumah membabitkan pengurusan aliran wang peribadi. Kita perlu mencari rumah yang sesuai dengan poket sendiri dan tidak berasa tertekan selepas memilikinya.

BAHAGIAN dapur menjadi satu daripada keutamaan Sufian dalam renovasi rumah.
BAHAGIAN dapur menjadi satu daripada keutamaan Sufian dalam renovasi rumah.

"Selain itu, dalam tempoh pencarian rumah, saya juga memastikan pembiayaan lain yang ada dengan bank dalam keadaan baik kerana ia akan mempengaruhi kelulusan permohonan pembiayaan," katanya.

Katanya, dia juga mempunyai tabungan peribadi untuk memiliki rumah memandangkan sebaik sahaja mendapat kunci terdapat kos tambahan lain yang perlu ditanggung.

"Saya memperuntukkan RM50,000 untuk pengubahsuaian dapur, lantai dan membeli kelengkapan rumah. Mempunyai tunai dalam tangan amat penting selepas mendapat kunci kerana kita ingin duduk dalam rumah yang selesa.

"Sebelum mendapat kunci lagi saya sudah membeli kelengkapan rumah sedikit demi sedikit kerana tidak mahu terbeban apabila perlu membeli kelengkapan rumah secara serentak," katanya.

RUANG antara faktor Sufian tertarik untuk membeli rumah pertamanya.
RUANG antara faktor Sufian tertarik untuk membeli rumah pertamanya.

Sufian berkata, dia berhasrat menjadikan rumah yang baharu dimilikinya sebagai aset pelaburan pada masa hadapan memandangkan dia masih mempunyai impian memiliki sebuah rumah yang mempunyai tanah sendiri.

"Bagi saya membeli rumah pertama dengan harga rendah adalah satu strategi yang baik kerana ia boleh menjadi aset pelaburan pada masa depan kerana kebiasaannya harga rumah sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

"Apabila saya mempunyai kemampuan pada masa depan, pasti saya ingin memiliki rumah yang mempunyai tanah sendiri dan bukan dalam segmen strata, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 7:00 AM