MEMBELI rumah pertama dengan harga yang sesuai ikut kemampuan peribadi.
MEMBELI rumah pertama dengan harga yang sesuai ikut kemampuan peribadi.
Hafiz Ithnin


BAGI pemuda berusia 31 tahun ini perancangan memainkan peranan penting untuk membeli rumah pertamanya kerana kesilapan mengatur langkah boleh memberi kesan buruk terutama membabitkan aliran tunai peribadi.

Selama dua tahun Muhammad Azim Zaid memastikan pengurusan kewangan dan produk kediaman yang dipilihnya mampu sesuai dengan poket peribadi. Malah, dia tidak tergesa-gesa untuk membeli rumah dalam tempoh itu.

Katanya, selepas memastikan kewangannya dalam keadaan selesa untuk membuat pembiayaan rumah, dia mengambil masa enam bulan untuk membuat tinjauan pembelian produk hartanah.

Muhammad Azim berkata, pada awalnya dia merancang membeli kediaman sekunder kerana berasakan rumah dalam segmen itu lebih berbaloi dengan bajet peribadi di bawah RM300,000 dan inginkan lokasi berhampiran pusat bandar kerana lebih mudah ke tempat kerjanya.

"Namun, ketika meninjau beberapa kediaman sekunder saya dapati kos untuk membelinya lebih tinggi kerana memerlukan persediaan dari segi aliran tunai yang lebih tinggi seperti persediaan membayar kos guaman.

"Jadi, saya mula mencari rumah daripada projek baharu dan akhirnya berjumpa sebuah projek dengan harga yang sesuai dengan kemampuan peribadi. Malah, lokasinya juga begitu dekat dengan tempat kerja," katanya.

Rumah berkenaan adalah projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) yang dibelinya pada RM300,000 iaitu kediaman strata bersaiz 850 kaki persegi seunit dengan tiga bilik tidur dua bilik air.

MUHAMMAD Azim ketika mendapat kunci rumah pada Disember tahun lalu.
MUHAMMAD Azim ketika mendapat kunci rumah pada Disember tahun lalu.

TIDAK mementingkan renovasi secara besar-besaran.
TIDAK mementingkan renovasi secara besar-besaran.

Katanya, proses pembelian rumah itu mengambil masa tiga hingga enam bulan termasuk mendapat kelulusan pembiayaan daripada bank.

Jelasnya, ketika membeli rumah itu dia juga memastikan lokasinya strategik termasuk berdekatan jaringan lebuh raya dan pengangkutan awam.

"Rumah ini mempunyai lokasi yang strategik kerana begitu dekat dengan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Taman Melati dan hubungan jalan raya juga begitu banyak untuk memudahkan akses ke pelbagai lokasi di sekitar ibu negara.

"Paling menarik lokasi rumah saya ini terletak begitu hampir dengan tempat kerja iaitu kira-kira 15 minit sahaja memandu sudah tiba di pejabat. Jadi, bagi saya lokasi rumah ini menjimatkan masa dan kos ke tempat kerja setiap hari," katanya.

Tambahnya, lokasi memainkan peranan penting bagi rumah yang terletak di pusat bandar kerana ia satu aset pelaburan yang baik untuk jangka panjang.

"Sebelum saya memutuskan untuk membeli rumah ini pastinya saya melihat juga potensinya sebagai produk pelaburan pada masa depan. Antara perkara yang mampu menaikkan harga hartanah pastinya lokasi yang mempunyai kedudukan strategik.

"Selain itu, apabila berdekatan dengan lokasi pengangkutan awam sudah pasti menambah nilai lagi aset ini pada masa depan. Bagaimanapun, pada masa ini saya memilih untuk menghuninya terlebih dahulu sebelum menjadikannya sebagai salah satu instrumen pelaburan jangka panjang," katanya.

MEMASTIKAN rumah tidak mengalami kerosakan sebaik sahaja mendapat kunci.
MEMASTIKAN rumah tidak mengalami kerosakan sebaik sahaja mendapat kunci.

PINDAH masuk rumah baharu pastinya memerlukan kos yang tinggi.
PINDAH masuk rumah baharu pastinya memerlukan kos yang tinggi.

Katanya, antara cabaran apabila menjadi pembeli rumah pertama ialah memastikan produk hartanah yang dibeli itu mempunyai kualiti baik seperti dijanjikan pemaju.

"Meskipun rumah saya ini daripada projek baharu, tetapi saya amat menitikberatkan mengenai kualiti. Pemeriksaan kerosakan sebelum berpindah menjadi perkara paling penting. Ia kerana kita tidak mahu apabila sudah berpindah ada pula kerja membaik pulih yang sepatutnya boleh dilakukan sebelum mendiami lagi.

"Pengalaman saya, rumah ini mempunyai beberapa kerosakan yang perlu dibaik pulih. Mujur saya mendapatkan nasihat daripada kawan-kawan yang pernah membeli rumah supaya memberi perhatian kepada perkara berkenaan bagi mengelakkan masalah di kemudian hari," katanya.

Katanya lagi, membeli rumah semestinya membabitkan aliran wang yang tinggi dan dia tidak tergesa-gesa melakukan kerja pengubahsuaian berskala besar kerana melihat kemampuan poket peribadi sebagai keutamaan.

"Apabila sudah memiliki rumah sendiri pasti kita mempunyai kemahuan melakukan dekorasi dan pengubahsuaian. Bagaimanapun, perlu melihat kepada kemampuan diri juga kerana bajet setiap orang berbeza.

"Malah, bagi saya perkara itu tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa kerana rumah sudah menjadi hak kita dan ia boleh dilakukan secara berperingkat. Tidak perlu terikut-ikut dengan cara orang lain, tetapi menilai kemampuan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 7:00 AM