CHE TA melayan tetamu yang hadir di majlis rumah terbukanya.
CHE TA melayan tetamu yang hadir di majlis rumah terbukanya.
DAFI dan Ayu Damit menghiburkan tetamu pada majlis itu.
DAFI dan Ayu Damit menghiburkan tetamu pada majlis itu.
KEBAHAGIAAN Zain dan Che Ta bersama Aaishah.
KEBAHAGIAAN Zain dan Che Ta bersama Aaishah.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Pihak media sudah menunggu pasangan pelakon, Rozita Che Wan dan Zain Saidin sejak awal petang untuk sesi temu bual dan bergambar sebelum bermula majlis rumah terbuka mereka di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Entah di mana silapnya, pasangan ini tidak muncul seperti yang dijanjikan. Hanya pada jam 8 malam baru kelibat mereka kelihatan masuk dalam dewan majlis dilangsungkan.

Menjelaskan perkara itu kepada media, Rozita atau Che Ta berkata, mereka lewat kerana anak mereka, Aaishah Dhia Rana, 9 bulan, terjatuh dari katil.

“Aaishah jatuh katil sebelum kami datang ke sini hingga hidungnya berdarah. Kami bawanya ke klinik dan doktor menyuruh kami pastikan Aaishah tidak tidur dan aktif.

“Kami memang bimbang apa-apa berlaku terhadapnya. Ia kejadian pertama terjadi membuatkan saya ‘mengamuk’ sekejap. Alhamdulillah tiada apa-apa yang serius,” katanya.

Zain pula mengakui turut cemas de­ngan kejadian yang menimpa Aaishah dan menyifatkan perkara itu tidak dijangka.

Jelas Che Ta, Aaishah kini semakin membesar dan beratnya sudah 11 kilogram. Kerana mahu memberikan tumpuan kepada pembesaran Aaishah juga, dia berat hati untuk menerima sebarang tawaran berlakon sekarang.

“Tawaran memang ada untuk saya buat drama 13 episod, tapi saya masih pertimbangkan lagi. Saya ada banyak perkara lain nak diuruskan termasuk perniagaan sendiri.

“Jadual memang terlalu padat. Tambahan pula drama episod memakan masa hampir sebulan. Saya kena memikirkan orang untuk jaga Aaishah. Jujurnya, saya langsung tak rindu berlakon kerana terlalu sibuk.

“Sekiranya berlakon, rasanya semacam trauma apabila dapat jadual penggambaran yang tak menentu masa. Kesibukan menguruskan perniagaan serta Aaishah buat saya jadi begini.

“Kadang-kadang saya tak sabar nak balik rumah bertemu Aaishah. Mengenai perancangan untuk menambah anak, saya tak terfikir lagi sekarang.

“Lagipun saya bersyukur dengan apa yang ada sekarang. Rasanya cukuplah dengan anak yang kami ada,” katanya yang turut mempunyai dua anak lelaki yang meningkat dewasa, Ammar Effendy, 19, dan Aniq Ezzra, 17, hasil perkahwinan sebelum ini.

Jadi hos program teh tarik

Selepas Primadona, Che Ta terus diberikan kepercayaan sebagai pengacara dan kini mengacara program hiburan dinamakan Teh Tarik Che Ta sebanyak 13 episod.

“Program terbitan RTM ini mengimbau nostalgia artis era 60-an hingga 80-an. Antara artis yang terbabit ialah Rubiah Suparman, Aman Shah, Zaiton Sameon, Rohana Jalil dan ramai lagi.

“Saya berbesar hati apabila nama saya digunakan sebagai tajuk program ini. Sebagai pengacara saya perlu mempunyai pengetahuan mendalam setiap tetamu.

“Penerbit berikan kepercayaan kepada saya untuk sediakan skrip sendiri. Menariknya saya seolah-olah pengusaha kafe dan buat sendiri teh tarik sambil berbual dengan artis undangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 11:53 AM