FOTO ihsan Pasukan Polis Marin (PPM)
FOTO ihsan Pasukan Polis Marin (PPM)
Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Dua wanita cedera parah selepas bot penumpang yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dalam kejadian kira-kira 4.30 petang Sabtu lalu di Pelabuhan Klang.

Dalam kejadian itu Heng Sioh Luien, 25, dari Klang dan Tan Wek Piau, 41, dari Kepong cedera selepas bot dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bot penumpang lain.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussain berkata, kejadian berlaku ketika bot yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari jeti Pelabuhan Klang ke Pulau Ketam.

Beliau berkata, bot berkenaan dilanggar di bahagian sisi kanan oleh sebuah bot penumpang lain menyebabkan dua penumpang berkenaan mengalami kecederaan.

Katanya, ketika kejadian 20 penumpang berada dalam bot terbabit.

"Mangsa iaitu Heng Sioh Luien sudah menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di kepala di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan keadaannya masih tidak stabil.

"Manakala Tan Wek Piau juga sudah menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala di Hospital Sunway dan mangsa masih tidak stabil," katanya.

Menurutnya, pemandu bot yang melanggar bot berkenaan kini ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 3:58 PM