Anggota PPM Pelabuhan Klang menjalankan pemeriksaan di tempat simpanan barang bot tukaran barang, semalam.
Anggota PPM Pelabuhan Klang menjalankan pemeriksaan di tempat simpanan barang bot tukaran barang, semalam.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Pelabuhan Klang: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas pelbagai barangan kosmetik berjumlah RM673,000 dari sebuah bot tukaran barang dari Tanjung Balai Indonesia, petang semalam.

Bot berkenaan ditahan di Perairan Bagan Hailam, di sini, kira-kira 5 petang selepas anggota PPM Pelabuhan Klang menerima maklumat risikan.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussain berkata, bot tukaran berkenaan dinaiki 11 lelaki Indonesia berusia lingkungan 20-an hingga 30-an yang dalam perjalanan menuju ke Jeti Asa Niaga, di sini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui pelbagai barangan kosmetik seperti produk kecantikan kulit dan sabun pemutih pelbagai jenama yang tidak diisytiharkan disorok di bawah timbunan pelbagai barangan keperluan harian lain seperti sayuran dan buah-buahan bagi mengelak dari dihidu pihak berkuasa.

"Bot yang ditahan kemudiannya di bawa ke jeti PPM Pelabuhan Klang untuk pemeriksaan lanjut dan barangan kosmetik dirampas dan diserahkan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut," katanya kepada Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 6:24 PM