MAYAT mangsa ditemui orang awam. FOTO ihsan Bomba dan Polis Marin
MAYAT mangsa ditemui orang awam. FOTO ihsan Bomba dan Polis Marin
Ayusliza Azizan


Pelabuhan Klang: Mayat penumpang yang hilang selepas bot dinaiki terbalik Rabu lalu ditemui terapung oleh orang awam di hadapan jeti di Pelabuhan Klang, 8.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang menerima panggilan telefon daripada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) mengenai penemuan mayat itu.

Beliau berkata, bot ronda RH 16 diarahkan ke lokasi untuk mengambil mayat itu dengan bantuan bomba.

"Mayat dibawa ke jeti PPM Pelabuhan Klang sebelum ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat," katanya.

Dalam kejadian 6.30 petang Rabu lalu, bot dinaiki mangsa bersama lima penumpang lain terbalik akibat dipukul ombak kuat.

Jurumudi bot itu yang juga warga tempatan lemas manakala empat yang lain selamat.

Jurumudi yang maut itu adalah warga tempatan dikenali Tan Bun Hiang, 47.

Difahamkan mangsa warga India adalah anak kapal MV LINAU6 yang berlabuh di Pelabuhan Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 3:05 PM