Balai Berita Bangsar.
Balai Berita Bangsar.

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima) mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.2 bilion dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM59.3 juta bagi tempoh 15 bulan bagi suku dan tempoh yang berakhir pada 31 Mac 2023.

Prestasi itu dicatatkan di kala menghadapi persekitaran perniagaan yang mencabar dan keadaan pasaran pengiklanan yang agak suram.

Hasil Media Prima bagi suku berakhir pada 31 Mac 2023 pula adalah sebanyak RM210.8 juta dan PAT adalah sebanyak RM5.4 juta.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid berkata, persekitaran ekonomi global yang kian mencabar telah memberi kesan kepada prestasi keseluruhan Media Prima bagi tempoh yang dikaji, terutamanya di dalam segmen pengiklanan dan perdagangan.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid.
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid.

"Bagaimanapun, kesan ini diimbangi oleh pendapatan bukan pengiklanan dan inisiatif pengurusan kos berterusan serta pendapatan daripada operasi lain.

"Kami yakin dengan keupayaan Kumpulan dalam menghadapi cabaran semasa dengan strategi yang telah dilaksanakan.

"Ini termasuk pengurusan kos secara optimum dan kebolehan bertindak balas kepada perubahan keadaan perniagaan.

"Kumpulan akan memberi fokus kepada pertumbuhan dalam pendapatan bukan pengiklanan seperti jualan kandungan dan platform membeli-belah di rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, Kumpulan menjangkakan tahun 2023 akan kekal mencabar di mana persaingan sengit untuk bahagian audien di platform media konvensional dan digital akan memberi kesan ke atas perbelanjaan pengiklanan.

"Tekanan inflasi, peningkatan kadar faedah, dan ketidaktentuan ekonomi juga akan turut memberi impak.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.
Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.

"Kami akan terus mempertahankan kedudukan Kumpulan dengan menyediakan kandungan yang menarik untuk penonton di setiap platform media sambil menawarkan inventori pengiklanan premium untuk pengiklan.

"Media Prima juga melihat peluang untuk menjana pendapatan melalui perkhidmatan penstriman video - tonton, yang kini berwajah baharu dan ditambah baik untuk memenuhi permintaan kandungan tempatan dalam kalangan pengguna." katanya.

Menurutnya, Kumpulan akan terus mempertahankan kedudukan di setiap sektor perniagaannya.

Capaian digital Media Prima, diterajui oleh jenama di bawah REV Media Group dan The New Straits Times Press, kekal sebagai portal berita dalam talian yang paling banyak dibaca dalam rangkaian mudah alih di Malaysia.

Pada masa sama, perniagaan pengiklanan luar rumah (OOH) Media Prima, Big Tree, telah meningkatkan inventori OOH digitalnya di lokasi strategik dengan penambahan dua skrin digital baharu di Sunway dan di Lebuhraya KL-Seremban.

Dalam segmen penyiaran pula, Rangkaian Televisyen Media Prima kekal sebagai rangkaian televisyen paling banyak ditonton, diterajui oleh TV3 yang merangkumi lebih 26 peratus penonton televisyen di Malaysia (bagi tempoh tiga bulan dalam ulasan), peningkatan daripada 20 peratus yang dicatatkan dalam tempoh perbandingan sama tahun lalu.

8TV mencapai 54 peratus daripada segmen penonton berbangsa Cina (berumur 4+), peningkatan daripada 37 peratus dalam tempoh perbandingan.

Jumlah capaian penonton TV9 juga meningkat kepada lebih 4.0 peratus daripada 2.0 peratus pada suku perbandingan tahun lalu.

Bagi segmen radio pula, Hot FM dan Fly FM, di bawah kendalian Media Prima Audio, mencatatkan peningkatan kedudukan dalam kalangan pendengar radio.

Katanya, Media Prima komited untuk memajukan pelan perniagaan strategik tiga tahunnya, yang berpaksi pada tiga tonggak utama: memperhebatkan kandungan, meningkatkan kualiti inventori, dan meneroka peluang pendapatan baharu.

Kumpulan berhasrat untuk memanfaatkan kepakaran teknologi, cerapan data berharga, dan tenaga kerja berbakat untuk memperoleh kelebihan daya saing, menarik pelanggan dan projek yang berprestij, serta memupuk kepelbagaian pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 2:24 PM