Balai Berita Bangsar menjadi ibu pejabat Media Prima.
Balai Berita Bangsar menjadi ibu pejabat Media Prima.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM51.6 juta bagi tahun kewangan 2021 (FY21), memperbaiki kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM18.1 juta bagi tahun dalam perbandingan (FY20).

Ini adalah keuntungan tahun penuh pertama Kumpulan sejak tahun kewangan 2018.

Biarpun berhadapan persekitaran yang mencabar disebabkan pandemik Covid-19, perolehan Kumpulan meningkat sebanyak 8.0 peratus kepada RM1.1 bilion pada FY21 berbanding RM1 bilion pada FY20, dibantu oleh perolehan pengiklanan yang kukuh dari platform jualan Kumpulan, Media Prima Omnia (Omnia).

Dalam tempoh kurang daripada dua tahun sejak penubuhannya, Omnia telah menjadi peneraju dalam pasaran selepas berjaya menggabungkan pelbagai platform Kumpulan dan mencapai lebih 98 peratus penduduk Malaysia bagi menyediakan pelanggan penyelesaian jualan yang unik dan holistik.

Omnia juga telah bekerjasama dengan jenama global termasuk Disney+ Hotstar, Foodpanda, Lazada, Samsung dan Shopee.

Rekod prestasinya yang kukuh, bersama dengan pembukaan semula ekonomi, telah menggiatkan semula perolehan pengiklanan Kumpulan yang meningkat sebanyak 16 peratus pada FY21 berbanding tahun sebelumnya.

Perolehan pengiklanan Kumpulan yang lebih kukuh juga disokong oleh perniagaan penyiarannya yang mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 38 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Perolehan jualan kandungan meningkat tiga kali ganda pada FY21 berbanding tahun sebelumnya, membuktikan kejayaan pelaksanaan strategi pengedaran dan program kandungan.

Media Prima kekal sebagai penerbit digital terkemuka bagi audiens peranti mudah alih selepas memperoleh 15.9 juta pelawat unik pada Disember FY21.

Perniagaan digital Kumpulan yang dipacu oleh REV Media Group, mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 10 peratus pada FY21 berbanding tahun lalu, disokong oleh perolehan pengiklanan yang lebih memberangsangkan.

Perniagaan penerbitan Kumpulan, New Straits Times Press (NSTP) pada FY21 mencatatkan keuntungan disokong oleh kos strukturnya yang lebih optimum dan pertumbuhan dalam perolehan percetakan dan pengedaran lebih daripada 20 peratus pada FY21 berbanding tahun sebelumnya.

Portal dalam talian milik NSTP seperti myMetro (hmetro.com.my) dan BH Online (bharian.com.my) telah disenaraikan sebagai portal berita dalam talian yang paling banyak dibaca di Malaysia dengan masing-masing 8.0 juta dan 7.4 juta jumlah pelawat unik purata.

Media Prima turut mengumumkan keputusan bagi tiga bulan berakhir 31 Disember 2021 (4QFY21) yang menyaksikan PAT Kumpulan meningkat sebanyak 53 peratus pada 4QFY21 berbanding suku keempat perbandingan (4QFY20).

Ini adalah prestasi keuntungan Kumpulan yang paling kukuh (tidak termasuk butiran berkecuali pada tahun-tahun lalu seperti yang direkodkan pada FY18) sejak suku keempat tahun

kewangan 2015.

Media Prima kekal sebagai syarikat konstituen FTSE4Good Index Series Bursa Malaysia berikutan penilaiannya pada Disember 2021.

Ia adalah pengesahan kuat terhadap komitmen Kumpulan untuk memastikan amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang meliputi seluruh Kumpulan.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, FY21 adalah tahun cemerlang bagi Kumpulan.

"Kami telah melepasi sasaran perolehan dan keuntungan FY21 dan amat berbangga dengan kejayaan ini.

"Walaupun berdepan cabaran yang menjejaskan industri media dan juga kesan pandemik Covid-19, perolehan pengiklanan kami meningkat daripada tahun lalu, diterajui oleh pasukan jualan yang efektif di bawah Omnia.

"Segmen digital dan perdagangan kekal kukuh meskipun persaingan daripada syarikat lain dan trend media yang sentiasa berubah.

"Semua ini menyemarakkan keyakinan kami terhadap masa depan Media Prima dan mewujudkan asas yang kukuh untuk perkembangan Kumpulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, memandangkan lebih banyak sektor

ekonomi dibuka semula pada 2022, Kumpulan akan melangkah lebih jauh dan terus berusaha lebih lagi untuk audiens dan pengiklan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, tahun 2021 adalah tahun yang mencabar bagi semua namun ia telah menjadi satu rekod pencapaian terbaik bagi Kumpulan sepanjang enam tahun ini.

"Tahun ini adalah tahun pertama kami mencatatkan keuntungan Kumpulan sejak tahun kewangan 2015 walaupun tahun kewangan 2018 merekodkan keuntungan disebabkan penjualan aset hartanah Kumpulan.

"Pencapaian 4QFY21 bukan sahaja keuntungan suku tahunan yang keenam berturut-turut, tetapi juga merekodkan PAT dinormalisasi yang terbaik sejak 4QFY15.

"Selain itu, kami kekal sebagai pilihan nombor satu Malaysia untuk kandungan peranti mudah alih berbanding pesaing-pesaing yang lebih besar.

"Kami juga berbesar hati melihat tanda-tanda pemulihan bagi perniagaan penerbitan kami yang merekodkan peningkatan dalam perolehan percetakan dan pengedaran.

"Ini adalah satu pencapaian besar buat kami dan kami amat berbangga dengan kerja keras pasukan," katanya.

Lembaga Pengarah Kumpulan mengisytiharkan pembayaran dividen pertama dan terakhir sebanyak 1.5 sen sesaham biasa untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 1:52 PM