CORDUROY
CORDUROY

New York: Rekod Dunia Guinness semalam menamakan Corduroy yang dipelihara di Sisters, Oregon, Amerika Syarikat sebagai kucing paling tua hidup ketika ini.

Kucing berkenaan yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-26 1 Ogos lalu menerima pengiktirafan itu selepas pemegang rekod sebelum ini,
Tiffany Two, mati Mei lalu.

Tiffany Two berusia 27 tahun, dua bulan dan sembilan hari apabila dia mati.

Bagaimanapun, pengiktirafan semalam bukan yang pertama buat Corduroy.

Dia sebelum ini pernah memenangi anugerah itu, tetapi gelaran itu ditarik balik Oktober tahun lalu apabila pegawai Guinness World Records menyedari mengenai kewujudan Tiffany Two dan usianya.

Tiffany Two hanya memegang gelaran itu selama tujuh bulan sebelum ia mati, lapor ABC News.

Tuan Corduroy Ashley Reed Okura berbangga dengan pengiktirafan kucingnya kali ini.

Menurut Okura, kucingnya boleh hidup lama kerana berasal dari gen yang baik dan sentiasa dibenarkan merayau di luar rumah.

Bagaimanapun, kucing yang paling lama pernah hidup ialah Creme Puff yang mati pada 2005 ketika berusia 38 tahun dan tiga hari. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:07 AM