LEGA lagu ciptaan dan nyanyiannya dikenali ramai.
LEGA lagu ciptaan dan nyanyiannya dikenali ramai.
Oleh Wahi Aziz

wahiduzzamanhmetro.com.my

Ramai yang kenal dan menyukai lagu Bunga Dhia yang popular menerusi drama bersiri Hati Perempuan di TV3 sejak beberapa bulan lalu.

Namun, penyanyi dan pencipta lagu berkenaan, Aiman Sidek mengakui tidak ramai yang mengenalinya.

Aiman atau Mohamad Aiman Md Sidek, 26, yang memulakan langkah dalam industri muzik tempatan selepas muncul naib juara program Akademi Nasyid di TV9 pada 2008 berkata, situasi itu berlaku akibat kesilapannya yang kurang menonjol dan menyepi dari publisiti sejak beberapa tahun lalu.

Walaupun dikenali pada awal kemunculannya, Aiman berkata, semangat dan keyakinan yang hampir lebur terhadap bidang ini membuatkan dia lebih selesa menyepikan diri.

“Sejak tiga tahun lalu saya hampir putus asa terhadap perjuangan dalam bidang muzik. Saya pernah dikenali sebaik keluar dari Akademi Nasyid tapi sayangnya momentum itu tidak berpanjangan.

“Saya berusaha menghasilkan dua album, tapi rezeki tidak memihak apabila lagu sebelum ini kurang meninggalkan impak. Saya mula berpandangan negatif terhadap kerjaya sebab banyak cabaran yang perlu dilalui untuk terus hidup.

“Sebab itu beberapa tahun lalu saya terus memperlahankan rentak dalam muzik dan mulai fokus pada urusan peribadi dan peluang rezeki dalam perniagaan pula,” katanya.

Penyanyi yang pernah muncul dengan lagu Cinta Terakhir ini berkata, ketika dia semakin selesa dengan perniagaan pakaian dalam talian yang diusahakan bersama isteri, Diana Alim, peluang kedua menjelma untuknya bangkit semula.

“Ketika itulah saya bertemu beberapa kenalan rapat yang percaya pada potensi saya dan memberikan peluang kedua untuk terus mencuba karya baru. Saya diberikan ilham untuk hasilkan lagu Bunga Dhia tahun lalu yang ditujukan kepada anak saya Dhia Adriana yang kini berusia lima bulan.

“Pengurusan AJ Music mempertaruhkan lagu itu untuk menjadi salah satu lagu tema drama bersiri terbabit. Saya tidak sangka apabila percaturan kali ini menjadi dan diterima ramai,” katanya yang menghasilkan lagu itu Mac lalu.

Menyedari sambutan baik masyarakat terhadap lagu terbabit, Aiman berkata, dia mendapat keyakinan untuk bergiat aktif semula sebagai anak seni.

“Peringkat sekarang adalah masa terbaik untuk saya menonjolkan diri kepada umum. Ramai yang kenal lagu itu tapi tak kenal dengan penyanyinya. Saya berharap selepas ini lebih ramai yang kenal dan memberikan sokongan.

“Saya juga menaruh harapan jika lagu itu dapat mara ke Anugerah Juara Lagu akan datang atau setidak-tidaknya mendapat tempat untuk beraksi di peringkat separuh akhir, jika diizinkan. Berkat tuah lagu itu, kerjaya saya lebih stabil dan dapat banyak undangan persembahan pentas sekarang,” katanya.

Bagi melanjutkan momentum diraih pada lagu berkenaan, Aiman berkata, dia kini menyiapkan lagu terbaru berjudul Larut yang akan menyusul pada Oktober atau November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:01 AM