BERHASRAT sambung pengajian suatu hari nanti. FOTO Genes Gulitah
BERHASRAT sambung pengajian suatu hari nanti. FOTO Genes Gulitah
Georgie Joseph


LEBIH dua tahun bergelar anak seni, penyanyi Keisya Levronka lega mengecap populariti mendadak menerusi lagu keempatnya Tak Ingin Usai. Tular dan digilai, impak lagu itu sangat luar biasa.

Keisya, 19, tidak menyangka namanya meledak sejak akhir-akhir ini. Baginya, pencapaian itu jelas berbaloi dengan keputusannya mencuba nasib dalam bidang seni suara.

Bagaimanapun dia enggan riak kerana tahu bergelar artis ada turun naiknya jadi mahu ingin fokus bagaimana terus menjaga momentum supaya kerjayanya mampu bertahan lama.

"Memang sangat besar pencapaian lagu Tak Ingin Usai. Saya bersyukur sangat apabila semakin ramai kenal serta mengikuti karya muzik saya selepas lagu itu meledak di media sosial.

"Tapi itu bukan alasan untuk saya merasa tinggi diri. Saya masih baharu dan sentiasa ingat bahawa menjadi artis ini bukan selalunya akan berada di atas, boleh jatuh bila-bila.

"Justeru, saya perlu sentiasa cari jalan untuk

kekalkan momentum kerjaya. Baik hasilkan lebih banyak lagu terbaik mahupun aktif dalam bidang lakonan," katanya.

Keisya yang dicungkil bakatnya dalam Indonesian Idol musim 10 berkata, dia sebenarnya masih tercari identiti paling tepat sebagai penghibur. Bukan mudah, tapi dia berusaha.

"Untuk membezakan diri dengan ramai lagi penyanyi bagus-bagus di luar sana, saya memang kena cari identiti tepat sendiri. Jujur, saya masih lagi belum temuinya.

"Saya masih bereksperimen dengan dunia muzik yang sangat serasi dengan kemampuan saya. Tapi rasanya lagu Tak Ingin Usai adalah jenis muzik yang kena dengan jiwa.

"Ini kerana lagu sebegitu memang digemari ramai. Saya akan cuba hasilkan lagu sebegitu pada masa akan datang selain terus bereksperimen dengan muzik lain," katanya.

Tampil menyanyikan lagu itu berulang kali di khalayak, bukan semua persembahannya menjadi. Beberapa klipnya gagal mencapai nota tinggi turut menjadi bualan hangat netizen.

KEISYA ingin terus hasil lagu terbaik. FOTO Genes Gulitah
KEISYA ingin terus hasil lagu terbaik. FOTO Genes Gulitah

Lebih teruk, dia dikatakan tidak mampu menyanyikan lagu sendiri dengan baik sedangkan ramai penyanyi lain yang mempersembahkan lagu itu lebih bagus.

Enggan melatah, Keisya akui banyak lagi perlu dipelajarinya dalam nyanyian bahkan kini mengambil beberapa kelas formal perbaiki dirinya.

"Saya okey saja, ambil segala kritikan terutama yang membina mengenai nyanyian saya. Saya sedar diri masih belum sebagus seperti penyanyi hebat lain di luar sana.

"Saya pun tahu banyak kekurangan lagi perlu diperbaiki mengenai teknik nyanyian. Tapi, saya ambil pengajaran daripada segala pengalaman atau kesilapan yang saya lakukan.

"Saya memang ada mengambil beberapa kelas juga untuk mantapkan lagi nyanyian serta aspek lain menjadi penghibur yang bagus," katanya.

Selain mengukuhkan kerjaya seni, Keisya juga berazam menyambung pengajian dan mengutamakan akademik. Baginya, dia perlu jaminan dalam hal berkenaan akademik juga.

"Memang saya akan sambung pengajian kelak. Tapi sekarang belum masanya kerana saya kini berada pada tahap yang perlu bagi tumpuan dan manfaatkan populariti dikecapi.

"Saya berhasrat menyambung pengajian dalam bidang perniagaan atau perhubungan awam. Kenapa bukan muzik? Ini kerana saya ingin luaskan skop kemahiran saya," katanya.

Keisya yang meminati Ariana Grande dan Datuk Rossa berkata dia juga sebenarnya tidak menyangka namanya tiba-tiba mencuri perhatian gara-gara lagu keempatnya itu.

"Apabila mendapat perhatian besar begini, saya rasa berbaloi sangat karier seni yang dibina selama dua tahun ini. Saya harap momentum ini akan berkekalan dan peminat terus setia mendengar lagu saya," katanya.

Keisya semakin digilai sejak lagu Tak Ingin Usai itu tular di TikTok. Bahkan ramai artis bernama besar menyanyikan 'cover version' untuk lagu ciptaan Mario Gerdadus Klau itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 7:00 AM