JAM tangan pintar Apple mampu tarik perhatian.
JAM tangan pintar Apple mampu tarik perhatian.
Oleh Afiq Hanif


Jika anda seorang pemakai atau peminat Apple, aksesori paling baru yang perlu dipadankan dengan telefon sudah pasti Apple Watch Sport yang berharga sedikit murah berbanding versi lain di pasaran.

Meskipun jam pintar terbabit mungkin agak lambat dipasarkan, ia masih mampu menarik perhatian pembeli terutama kaki gajet Apple.

Rekaannya memaparkan hanya dua butang di bahagian tepi kanan dengan butang pertama berbentuk bulat yang dipanggil Digital Crown.

Apabila ditekan, ia akan membawa si pemakainya ke skrin utama. Boleh dikatakan, ia bertindak sebagai butang ‘Home’ bagi penggunanya.

Pada masa sama, Digital Crown juga boleh diputarkan untuk mengoperasikan arahan tertentu seperti zum dan skrol.

Manakala satu lagi butang di bawahnya lebih kepada satu fungsi yang membawa penguji terus kepada senarai ‘Contacts’.

Antaramuka jam boleh ditukar kepada pelbagai jenis reka bentuk. Selepas pengguna menekan butang Digital Crown buat kali kedua, ia akan memaparkan senarai aplikasi.

Tetapi, senarai aplikasi ini dipaparkan secara berselerak dengan ikon berbentuk bulat. Digital Crown kemudiannya boleh digunakan untuk tujuan zum yang menjadikan ikon aplikasi ini boleh dikecil dan dibesarkan menggunakan putaran Digital Crown.

Seperti antaramuka iOS pada iPhone, antaramuka Apple Watch juga beroperasi lancar.

Membuka aplikasi dan melayari satu muka ke muka lain tidak mendatangkan masalah. Sememangnya ia boleh dijangka apabila Apple dikatakan serius memastikan jam pintar yang lewat dibawa masuk ke pasaran lebih baik berbanding produk lain.

Jika anda pemakai iPhone, anda tidak mengalami masalah mengoperasikan Apple Watch Sport.

Aplikasi yang terdapat pada Apple Watch ini sudahpun tersedia pada iPhone. Contohnya, aplikasi panggilan, mesej, pelayar, peta dan navigasi, cuaca, kalendar dan galeri gambar.

Sekali lagi, penggunaan Digital Crown memang memberi pengalaman berbeza yang tidak terdapat pada jam tangan pintar yang lain.

Tetapi, beberapa aplikasi khas pada Apple Watch Sport seperti aplikasi Fitness dan Workout dengan sensor terbina dalam boleh memaparkan aktiviti harian yang dilakukan pengguna seperti jarak berjalan, kalori yang berjaya dibakar serta masa yang direkodkan.

Pengguna juga boleh menetapkan sasaran aktiviti mereka dan Apple Watch boleh memberi peringatan, contohnya jika pengguna lama tidak bergerak, jam akan sedia dengan notifikasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 2:01 PM