APPLE lindungi privasi pengguna menerusi kefungsian Amaran Kandungan Sensitif
APPLE lindungi privasi pengguna menerusi kefungsian Amaran Kandungan Sensitif
Muhammad Saufi Hassan


PERANTI pintar pada hari ini sudah menjadi satu keperluan bermula dari medium komunikasi digital sehingga kepada urusan produktiviti di pejabat turut menggunakan peranti berkenaan.

Ia sekali gus menjadikan perkakas berkenaan sebagai 'mesti bawa' ke setiap destinasi dan kepentingannya umpama identiti diri.

Sebagai peranti utama untuk tujuan komunikasi digital dan produktiviti, ia juga terdedah dengan penyebaran bermacam bahan yang tidak sepatutnya kepada pengguna.

Syarikat peneraju teknologi dunia, Apple memperkenalkan sistem operasi yang mengandungi cir-ciri kefungsian Amaran Kandungan Sensitif (Sensitive Content Warning) yang bertindak mengaburkan bahan atau video yang mengandungi imej serta visual bogel.

Apabila kefungsian berkenaan diaktifkan, ia mengaburkan foto atau video yang mungkin mengandungi unsur imej tidak sepatutnya sebelum pengguna melihatnya, menyediakan sumber yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan cara mengenali dandanan atau gangguan dan memberikan beberapa petua umum untuk kekal selamat dalam talian.

Ciri-ciri berkenaan dapat dilaksanakan hasil daripada kemajuan pembelajaran mesin atau 'Machine Learning' yang terbina menerusi peranti iPhone tanpa memerlukan imej itu diproses pada pusat data yang lain.

Memandangkan Amaran Kandungan Sensitif menggunakan pembelajaran mesin pada peranti untuk menganalisis foto dan video, Apple tidak menerima sebarang petunjuk bahawa imej berkenaan sudah dikesan dan tidak mendapat akses kepada foto atau video.

MELINDUNGI pengguna daripada terdedah dengan kandungan mesej sensitif dengan bahan bersifat ‘nudity’.
MELINDUNGI pengguna daripada terdedah dengan kandungan mesej sensitif dengan bahan bersifat ‘nudity’.

Ini meningkatkan tahap privasi pengguna dan kefungsian berkenaan akan merentasi iPhone, iPad, Mac dan Apple Watch.

Ia juga merangkumi dalam 'Messages,' AirDrop dan FaceTime Video, sekali gus melindungi pengguna.

Bermula dalam iOS 17.2, Amaran Kandungan Sensitif juga akan mengaburkan imej sensitif untuk Poster Kenalan yang dipaparkan dalam aplikasi telefon dan kenalan serta pelekat pihak ketiga.

Kefungsian berkenaan juga akan melindungi pengguna khususnya kanak-kanak daripada 'Cyberflashing' yang memaparkan imej tidak sepatutnya.

Penyelidikan daripada ahli akademik United Kingdom (UK) mencadangkan 75.8 peratus kanak-kanak perempuan berumur 12 hingga 18 tahun menerima imej bogel yang tidak diingini.

Pada masa sama, tinjauan pendapat daripada firma kajian AS Pew Research mendapati 52 peratus wanita muda dan 37 peratus lelaki muda berusia 18 hingga 29 tahun menerima kiriman secara tidak diingini atau bukan konsensual imej seksual eksplisit.

Selepas mendapat permintaan daripada pengguna untuk perlindungan daripada menerima kandungan bogel yang tidak diingini, Apple mencipta ciri-ciri Amaran Kandungan Sensitif.

Ciri-ciri baharu untuk melindungi pengguna ini sangat penting supaya setiap lapisan umur pengguna sentiasa dilindungi daripada menerima imej yang tidak sepatutnya sama ada daripada kenalan atau pihak ketiga.

Apple juga antara peneraju teknologi yang melindungi privasi pengguna, sekali gus memanfaatkan keupayaan pembelajaran mesin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 7:01 AM