AKID (kanan) dan Haziq (kiri) sandaran Maju Motor kekalkan kejuaraan.
AKID (kanan) dan Haziq (kiri) sandaran Maju Motor kekalkan kejuaraan.

SELEPAS mengesahkan gelaran juara berpasukan dalam saingan Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), pasukan Maju Motor kini dalam misi untuk mengesahkan gelaran juara berpasukan bagi saingan CP115 pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.

Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor melalui gandingan Mohd Akid Aziz dan Mohd Haziq Fairues kini mengumpul 226 mata, 90 mata meninggalkan pencabar di tangga kedua, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ diikuti Motul Zeneos Yamaha YY Pang ketiga dengan 100 mata.

Seandainya mereka mengulangi pencapaian pusingan lalu di Kelantan sebagai juara dan naib juara, pasukan ini akan mengutip 45 mata maksimum menjadikan 271 mata sekali gus gagal dicabar mana-mana pasukan dengan hanya berbaki 90 mata maksimum ditawarkan dalam dua pusingan terakhir musim ini.

AKID (kanan) dan Haziq (kiri) bersama pengurus pasukan Maju Motor, Yong Yin Hoe.
AKID (kanan) dan Haziq (kiri) bersama pengurus pasukan Maju Motor, Yong Yin Hoe.

Pada masa sama, pasukan yang mendapat tajaan UMA Racing dalam saingan ARRC itu sudah mengesahkan kedudukan selaku juara keseluruhan Underbone 150cc ARRC di India, 24 September lalu meskipun masih berbaki satu pusingan perlumbaan di Thailand, Disember depan.

Untuk rekod, pasukan Maju Motor merekod kejayaan gemilang pada musim 2016 dengan memenangi gelaran individu dan berpasukan dalam saingan CP130 dan CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS selain pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor turut meraih gelaran berpasukan dalam saingan Underbone 130cc ARRC.

Musim 2017 turut menyaksikan pasukan itu berada di landasan terbaik untuk memenangi enam gelaran apabila kini sedang mendahului senarai keseluruhan kategori CP150 manakala Kasma Daniel Kasmayuddin kini mendahului carta pelumba kategori CP150.

Akid juga berada dalam landasan terbaik untuk mengekalkan gelaran juara CP115 2016 apabila sedang mendahului kedudukan dengan 130 mata selain turut berpeluang untuk menamatkan kemarau kategori Underbone bagi Malaysia di Kejuaraan ARRC sejak 2010 apabila sedang mendahului kategori Underbone 115cc dengan 164 mata.

“Saya akan bekerja keras dan tidak memandang mudah tugasan untuk memastikan gelaran pasukan terbaik kekal milik kami. Kami tidak memandang mudah walaupun mempunyai bekalan selesa kerana saya juga mahu memastikan gelaran individu juga menjadi milik saya,” jelas Akid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 8:05 PM