Antara burung yang dirampas. FOTO  Mohamed Sahidi Yusof
Antara burung yang dirampas. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Oleh Mohamed Sahidi Yusof


Jeli: PERHILITAN Kelantan merampas 63 spesis burung bernilai RM20,000 dipercayai untuk dijual dalam serbuan di Kampung Batu Melintang dan Kampung Bukit Lakota, Jeli 3.30 petang semalam.

Semua burung itu adalah spesis dilindungi mengikut Akta Pemiliharaan Hidupan Liar 2010.

Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohammad Khairi Ahmad berkata, susulan itu, dua lelaki berusia 30-an dan 40-an ditahan bagi membantu siasatan.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 68(1)(a) kerana memburu dan menyimpan mana-mana hidupan liar dilindungi tanpa lesen.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 60(1)(a) yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 3:20 PM