Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Selama: Tindakan seorang pesawah menyimpan 28 burung dari spesis hidupan liar dilindungi mengundang padah apabila ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Selasa lalu.

Pengarah Perhilitan Negeri Perak, Yusoff Shariff, berkata, lelaki berusia 42 tahun ditahan pada 10 pagi di kediamannya di Parit Buntar, dekat sini kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen sah menyimpan hidupan liar itu.

"Tangkapan itu hasil maklumat orang ramai dan intipan yang dibuat pihak kami. Turut dirampas 23 burung ruak-ruak, tiga burung ayam-ayam dan dua belibis serta 27 sangkar.

"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian untuk soal siasat sebelum dilepaskan dengan jaminan polis pada jam 2 petang," katanya dalam sidang media di Pejabat Perhilitan Daerah Selama, di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan keterangan suspek, kesemua burung itu ditangkap sendiri dan disimpan sebagai hobi.

"Namun, kami yakin burung itu dijual di pasaran setempat dengan harga antara RM10 hingga RM20 seekor, manakala harga bagi seekor burung pemikat (denak) pula mencecah RM500 seekor.

"Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu Seksyen 60 (1) (a) atas kesalahan menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen, dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, bagi kesalahan menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya boleh didenda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff (dua kiri) meninjau 28 ekor burung yang dirampas di Tanjung Piandang. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff (dua kiri) meninjau 28 ekor burung yang dirampas di Tanjung Piandang. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 1:51 PM