Nazdy Harun


Kuala Berang: Lima lelaki termasuk empat warga asing ditahan dalam dua serbuan berasingan di Jabi, Besut pada Jumaat lalu kerana menyimpan dan memiliki haiwan dilindungi bernilai lebih RM50,000.

Pada serbuan itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu turut merampas pelbagai spesies dilindungi seperti burung murai batu, murai belanda, helang bahu hitam, ayam hutan, landak raya, memerang dan kura-kura.

Pengarah PERHILITAN Terengganu Rahmah Ilias berkata, operasi ‘1Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network’ (1MBEON) bermula jam 8.30 malam itu dijalankan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, pihaknya menahan empat lelaki warga asing berusia 23 tahun hingga 31 tahun yang juga pekerja kilang papan pada serbuan di premis pertama.

“Pada serbuan pertama ini, kami merampas lapan murai batu, seekor murai belanda, seekor helang bahu hitam, seekor kunyit kacak dan dua ekor ayam hutan.

“Pada serbuan kedua pula, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pemandu jengkaut. Kami turut menemui 10 landak raya, seekor memerang, musang, ular sawa burma dan tiga kura-kura.

“Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kampung Raja. Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Seksyen 60(1)(a) kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen sah. Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di pejabat PERHILITAN Daerah Hulu Terengganu, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 68(1)(a) kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas. Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, haiwan yang dirampas itu akan dibebaskan ke habitat asal dan pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek menjadikan haiwan itu sebagai sumber pendapatan. dengan menjualnya namun ia masih dalam siasatan.

“Semua haiwan itu ditemui disimpan dalam sangkar di rumah suspek. Nilai rampasan pula melebihi RM50,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 6:22 AM