Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Tiga mata berharga terus diraih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) untuk menghambat pendahulu Pahang selepas membelasah Sime Darby FC 4-0 pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Kemenangan skuad kendalian Mario Gomez itu meletakkan Sime Darby FC yang dibimbing Ismail Zakaria semakin tergelincir ke saingan Liga Perdana musim depan apabila masih belum mampu mencatat kemenangan pertama selepas mengharungi 17 perlawanan.

Walaupun aksi 15 minit babak pertama dikuasai skuad Harimau Selatan yang mengasak ke kubu lawan namun benteng pertahanan pelawat masih kebal dan berjaya menghalang percubaan berbahaya tuan rumah.

Ketika aksi memasuki minit ke-20, peluang terhidang terlepas begitu saja selepas bola umpanan Mohd Amri Yahyah membuka ruang buat kapten Safiq Rahim merembat bola leret tetapi sekadar sipi dari gawang gol.

Usaha berterusan tuan rumah untuk mencipta jaringan menjelma m-31 selepas sepakan sudut Mohd Nazrin Nawi ditanduk kemas Luciano Figueroa, menewaskan penjaga gol, Mohd Sufian Ab Rahman.

Tatkala aksi hampir tamat pada babak pertama, tuan rumah menambah gol kedua menerusi tandukan Asraruddin Putra Omar.

Bersambung babak kedua, Gomez membuat rombakan apabila memasukkan Hariss Harun untuk menguatkan posisi tengah dengan menggantikan Mahali Jasuli manakala Mohd Amri kembali bergerak di posisi sayap kanan.

Kesungguhan skuad Harimau Selatan untuk memburu kemenangan begitu ketara apabila menambah gol ketiga m-49 selepas lorongan Figueroa disambar Safiq yang bijak melencongkan bola tepat ke penjuru kanan gol.

Gol kedua peribadi Figueroa m-68 dianggap tercantik dalam perlawanan itu apabila tindakannya melayangkan badan dan pantas merembat sepakan lintang pemain gantian S Chanthuru, melengkapkan kemenangan Johor DT.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 8:42 AM