FIGUEROA (No 19) jaring gol pembukaan Johor DT.
FIGUEROA (No 19) jaring gol pembukaan Johor DT.
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Semangat juang tinggi ditonjolkan setiap pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) merealisasikan kemenangan 4-1 menewaskan Perak untuk kembali merampas kembali kedudukan teratas Liga Super pada aksi di Stadium Larkin, malam tadi.

Kemenangan itu cukup bermakna apabila mengakhiri aksi di laman sendiri dengan rekod bersih 100 peratus 11 kemenangan tanpa tewas sepanjang saingan liga musim ini dan akan bertandang ke Stadium Selayang berdepan FELDA United pada perlawanan terakhir yang menjadi penentu mempertahankan kejuaraan liga.

Turun tanpa kelibat Marcos Antonio yang terpaksa direhatkan akibat penggantungan satu perlawanan, pengendali Johor DT, Mario Gomez membuat rombakan dengan menyenaraikan Junior Eldstal bergandingan bersama Aidil Zafuan Abd Radzak mengemudi benteng pertahanan.

Kelibat Safee Sali juga menjadi sandaran mempertajamkan barisan serangan bagi membantu Luciano Figueroa dalam usaha memburu gol sambil Mohd Nazrin Nawi kekal di posisi sayap kiri untuk membentuk formasi 4-2-1-3.

Taktikal disusun pengendali dari Argentina itu hampir membuahkan hasil pada minit ke-19 tetapi rembatan deras Safee sedikit tersasar selepas menerima bola lorongan Hariss Harun.

Pelawat juga cuba untuk menggugat pintu gol tuan ruman m-25 selepas bola sepakan percuma Muhd Nurridzuan Abu Hassan hampir menewaskan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan namun palang menjadi penyelamat.

Usaha berterusan tuan rumah memecah kebuntuan akhirnya menjelma ketika aksi berbaki seminit babak pertama untuk ditamatkan apabila Figueroa melonjak tinggi dan menanduk kemas menewaskan penjaga gol Mohd Zamir Selamat hasil bola sepakan percuma kapten Safiq Rahim.

Sebaik babak kedua bermula, tuan rumah menyentap semangat pelawat m-47 selepas gerakan solo Mohd Nazrin yang tidak dihalang dari kawasan tengah padang bingkas merembat bola kencang tepat ke penjuru kiri menewaskan Mohd Zamir.

Namun pelawat bangkit merapatkan jurang gol m-61 tetapi itu tidak menghalang kegarangan tuan rumah apabile S Chanthuru mudah menolak masuk untuk gol keempat m-66 selepas bola umpanan Figueroa tepat kepadanya untuk menewaskan Mohd Zamir.

Tuan rumah menambah derita pelawat m-71 selepas bola tolakan S Kunanlan yang berjaya memperdaya dua pertahanan pelawat menyaksikan Safiq pantas merembat bola untuk memastikan kedudukan selesa 4-1 sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 8:46 AM